Pages

Tuesday, January 25, 2005

Wandin East III

Pada keesokan harinya, tatkala aku bangun untuk mengerjakan solat subuh....aku diselimuti dengan angin sejuk beku. Seolah-olah pagi itu seakan-akan di musim sejuk. Kami semua menggigil kesejukan tatkala mengambil wudhu'. Mungkin ladang ini sejuk kerana ia berada di puncak bukit yang tinggi.

Setelah kami bersolat subuh dalam keadaan yang dingin ini, salah seorang daripada kami pergi ke dapur untuk memasak. Aku melihat gunung-ganang yang menghiasi pemandangan dari tempat aku berada ini. Aku dapat lihat kabus tebal menutupi gunung-ganang itu. Bintang-bintang masih berkelipan dan sang mentari hampir menjelma.

Tidak beberapa lama kemudian, matahari mula bangun dari tempat peraduannya. Pada mulanya, aku lihat garisan nipis berwarna merah keperangan kemudian ia bertukar menjadi warna oren dan akhirnya kekuningan. Bintang-bintang yang menghiasi langit tanpa kusedari mula lenyap satu persatu. Sungguh indah pemandangan yang kulihat ini. Jarang aku dapat lihat matahari terbit di sebalik banjaran gunung. Mungkin kehidupan di hiruk-pikuk bandaraya di celah-celah bangunan tinggi mencecah langit telah menghalang aku dari melihat kecantikan alam ciptaan Tuhan sekelian alam.


Subhanallah! Segala puji kepada Allah yang telah menciptakan alam sebagai tanda peringatan kepada manusia yang sering alpa.

Firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam Ar-Rahman:


فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu ingin dustakan"

Firman Allah lagi dalam An-Nur yang kita pernah hafal dahulu:


اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لا شَرْقِيَّةٍ وَلا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah adalah sebagai sebuah 'misykaat' yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca(qandil), geluk kaca itu pula laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya; (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja pada masa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu -dengan sendirinya- memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

Ibarat sinar suria yang menerangi alam pada waktu siang dan cahaya bulan yang menjadi panduan perjalanan di tengah malam, kini tidak ramai umat manusia yang menghargai nikmat ini. Kalau sesat pada siang hari, mereka ada peta, kompas dan GPRS dan kalau sesat pada malam hari pula, selain daripada bantuan teknologi itu....mereka boleh gunakan telefon.

Kenapa yer aku bercakap akan perihal ini? Kerna pada masa aku bekerja di ladang ini, barulah aku menghargai setiap nikmat yang tiada ada pada aku waktu itu. Aku mula menghargai nikmat elektrik, internet, air yang bersih, rumah, katil yang selesa.......dan aku juga mula mempelajari menggunakan matahari, bulan dan bintang sebagai petunjuk waktu.

Manusia hanya menghargai sesuatu apabila ia hilang dari genggamannya. Tatkala itulah dia tersedar dan mungkin menyesal kerana tidak mempergunakan ia sebaik-baiknya. Itulah juga yang akan kita alami apabila kita melangkah masuk ke dalam alam baqa nanti.

Firman Allah:


إِنَّا أَنْذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

"Sesungguhnya Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat, - iaitu pada hari seorang melihat apa yang diusahakannya; dan orang kafir akan berkata 'Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)" (An-Naba: 40)

Tatkala di Cobram, kami tidak membawa kalendar solat mahu pun kompas untuk mencari arah kiblat. Maka, kami mempelajari sedikit ilmu falak dalam menentukan arah kiblat dan waktu solat. Untuk waktu subuh, sedikit garisan halus sinar mentari menandakan masuknya waktu subuh dan terbit matahari menentukan syuruk. Apabila bayang suatu benda lebih panjang sedikit daripada panjang asalnya, itu menunjukkan tergelincirnya matahari dan menandakan waktu zuhur. Apabila bayang suatu benda itu dua kali lebih panjang dari panjang asalnya, ia menandakan waktu asar. Untuk maghrib pula, kami perlu menunggu sehingga matahari terbenam dan untuk isyak pula kami perlu menunggu sehingga tiada sinar mentari yang kelihatan di ufuk langit.

Untuk menentukan arah kiblat pula, kami perlu mencari tiga bintang yang tersusun dalam satu baris dan sebenarnya bintang-bintang itu sebahagian daripada buruj yang aku lupa akan namanya. Aku cuba mencari 4 bintang yang terdapat pada bendera Australia yang dikatakan hanya dapat dilihat dari benua Australia sahaja namun aku gagal. Terlalu banyak bintang-bintang bertaburan di angkasa raya dan pernah sekali aku melihat lintasan komet melintasi khemah kediaman aku.

bersambung...

No comments: