Pages

Monday, September 27, 2021

Cara menghadapi ujian

Peringatan untuk diri sendiri dan para pembaca, 

Setiap yang bernyawa pasti diuji. Ada orang yang diuji dalam bentuk kesenangan. Senang naik pangkat, senang lulus peperiksaan dan senantiasa dimurahkan rezeki di dalam pelbagai bentuk seperti wang, kesihatan dan masa. Ada orang yang diuji dalam bentuk kesusahan. Senantiasa menghadapi kekangan kewangan, dibuang kerja dan ditimpa pelbagai jenis penyakit. 

Ujian ada melibatkan peringkat individu, komuniti sehingga peringkat dunia seperti pandemic Covid yang melanda sekarang. 

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. رضي االله عنهما

beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: 

Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. 

Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. 

Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. 

Pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya). 

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. 

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" 

Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). 

Al-Baqarah 2:214 

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. 

Al-Nahl 16:128

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, 

Ash-Syar-h 94:5

Sesungguhnya setiap ujian ada cara penyelesaiannya. Setiap orang diuji berdasarkan kemampuan masing-masing. Tiada orang yang diuji di luar kemampuannya. 

Setiap orang yang beriman harus berusaha, berdoa dan bertawakal dalam menghadapi setiap bentuk ujian. Semoga setiap ujian yang kita hadapi mampu mendekatkan kita dengan Allah dan bukannya menjauhkan diri daripada Allah. 

Semoga setiap usaha kita dalam mengharungi ujian membantu kita memasuki syurga dan melindungi diri kita daripada azab api neraka. Akhir kata, diakhiri dengan hadis ini untuk dijadikan bimbingan dan peringatan buat diri sendiri dan para pembaca. 

Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya. 

Hadis riwayat Muslim

No comments: