Pages

Monday, September 18, 2006

antara dua cinta

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada...ditangkap hilang

Tuhan...leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak kumampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintaMu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh

-Raihan-
Tertarik dengan ayat ini....Apa yang diburu timbul rasa jemu, Bila sudah di dalam genggaman...

Adalah biasa untuk kita mengalami hal sedemikian. Apabila hati ini menjumpai akan sesuatu yang menarik dan hebat, lantas kita membentuk satu azam untuk berusaha mencapainya. Biarlah usaha itu menghadapi rintangan dan dugaan atau merentasi masa yang panjang, azam kita yang kukuh akan sanggup mengharunginya. Itulah lumrah kehidupan ini.

Cubalah kita renungkan kembali kehidupan silam kita. Sudah pasti ada beberapa perkara yang dahulu kita idamkan sudah kita capai sekarang. Katakanlah seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. SPM ini bakal menentukan masa hadapan dan dia tidak dapat membayangkan kehidupannya andainya dia gagal SPM ini. Sudah tentu pelajar ini akan berusaha sedaya-upaya. Tak kira waktu, tak kira tenaga...dia akan berusaha sedaya-upaya demi mencapai suatu keputusan yang bakal meletakkan kehidupan masa depannya pada kedudukan yang selesa. Keputusan SPM yang cemerlang...itulah azam dan harapan dia. Itulah azamnya yang tetap teguh di hati.

Katakanlah pelajar itu berjaya dengan gemilangnya. 20 tahun selepas itu, sudah pasti pelajar itu sudah bekerja dan berumahtangga. Kehidupannya pasti akan bahagia. Namun, adakah pemikiran pelajar itu masih beranggapan bahawa SPM itu masih penting lagi? Atau adakah dia akan memikirkan perkara lain sebagai matlamat kehidupannya?

Kehidupan ini seringkali berubah-ubah dan begitulah juga hati ini. Matlamat kita akan berubah mengikut suasana dan tahap pemikiran dan pemahaman kita terhadap sesuatu. Maka renungkanlah rangkap yang seterusnya.

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir

Hayatilah maksud rangkap ini dengan mendalam. Semoga ini bakal menjadi suatu panduan untuk kita memahami rentak-rentak kehidupan yang singkat ini.



No comments: