Pages

Friday, July 15, 2005

Sejarah ANZAC

Australia War Memorial, Canberra

Pembinaan terusan Suez yang bermula pada tahun 1859 dan siap pada tahun 1869 merupakan salah satu punca pendudukan Mesir oleh British. British telah membeli saham syarikat yang membina Terusan Suez dan secara tidak langsung membiayai pembinaan Terusan Suez.

Pada tahun 1882, Mesir telah dijajah oleh British dan British telah melantik orang Mesir sebagai 'sultan' yang memerintah Mesir, walaupun sebenarnya British yang menguasai seluruh Mesir.

Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada masa ini telah pun mula lemah. Pelbagai serangan dari pelbagai arah terpaksa dihadapi. Di sebelah barat, ia diserang oleh Austria, Greek terpaksa dibebaskan pada tahun 1829, dan begitu juga dengan Serbia. Di sebelah utara dan timur, ia diserang oleh Russia yang menjajah sedikit demi sedikit tanah milik kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1856, Romania mula wujud dan makin lama, empayar Turki Uthmaniyyah mula mengecil.


Meriam di War Memorial

1875-1876, menyaksikan revolusi di Bosnia dan Bulgaria. Kerajaan Turki Uthmaniyyah juga dihimpit dari arah Timur. Russia telah berjaya menguasai Asia Tengah. British telah menguasai Sudan dan India. British juga dengan liciknya menguasai Tanah Melayu dan Singapura pada masa yang sama. Belanda pula menguasai Indonesia. Satu demi satu tanah umat Islam jatuh kepada musuh. Empayar Turki Uthmaniyyah makin terhimpit.

Pada tahun 1887, Muktamar Zionis Antarabangsa I yang dipengerusikan oleh Theoder Hertz diadakan. Matlamat persidangan mereka adalah untuk memikirkan strategi untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi di Palestin. Dari tahun 1888 hingga 1905, pelbagai persidangan diadakan untuk merangka pelan yang terbaik untuk merampas Palestin yang berada di bawah kerajaan Turki Uthmaniyyah.



Pada tahun 1901, Sultan Abdul Hameed telah ditemui oleh 3 orang Yahudi yang kaya-raya. Melihatkan kewangan empayar Turki Uthmaniyyah yang makin meruncing akibat terjerumus ke dalam beberapa peperangan dari pelbagai arah, kaum Yahudi menawarkan suatu tawaran menarik. Mereka akan memberikan sejumlah wang yang besar dan akan menolong membina armada laut Turki Uthmaniyyah dan sebagai pertukaran, mereka meminta agar kaum Yahudi dibenarkan memasuki Palestin dan membina penempatan di situ. Menyedari taktik halus Yahudi yang ingin menguasai Palestin, tawaran itu ditolak.

Melihatkan taktik mereka tidak berjaya, kaum Yahudi mula melancarkan serangan dari dalam. Mereka membantu orang-orang yang berfikiran sekular untuk memegang tampuk pemerintahan. Pada tahun 1908, Sultan Abdul Hameed telah digulingkan dari tampuk pemerintahan Turki Uthmaniyyah dan digantikan dengan sultan lain yang tidak mampu mengembalikan semula martabat empayar Islam yang terakhir ini. Golongan 'Turki Muda' yang berfahaman nasionalis mula memperkukuhkan pengaruhnya selepas penggulingan Sultan Abdul Hameed.


Kalungan bunga buat tentera yang terkorban

Pada masa yang sama, British yang berpangkalan di Mesir mula melancarkan serangan mereka yang halus. Mereka mula menghidupkan semula semangat perkauman. Arab adalah untuk Arab dan Turki adalah untuk Turki. Semangat nasionalisme yang membara telah mula melemahkan semangat persaudaraan sesama Muslim.

Pada tahun 1912-1913, berlakunya Perang Balkan I. Dan pada masa yang sama, Libya yang berada di bawah pengaruh Turki Uthmaniyyah telah diserang oleh Itali. Penjajahan Libya oleh Itali telah menyaksikan kebangkitan pasukan tentera yang dipimpin oleh Umar Mukhtar, Lion of The Desert [2]. Perang di rantau Balkan merebak ke seluruh benua Eropah.[3] [4]

Bermula dengan Austria dan Serbia, ia akhirnya melibatkan British, Perancis, Jerman, Russia, Greece dan Turki Uthmaniyyah. British mengumpulkan segala ketumbukan tenteranya dari serata pelusuk tanah jajahannya. Kerajaan British mengumpulkan tentera dari Afrika Selatan, Australia dan New Zealand (ANZAC).

Tentera ANZAC dihantar ke Mesir terlebih dahulu untuk menjalani latihan intensif peperangan di padang pasir. Setelah beberapa bulan, tentera ANZAC dihantar ke beberapa tempat di seluruh benua Eropah. Di antaranya, mereka dihantar ke Gallipoli, sebuah pantai di barat Turki. Peperangan di Gallipoli menyaksikan ketumbukan besar tentera British, ANZAC dan Perancis menentang tentera Turki Uthmaniyyah. Setelah beberapa bulan tersangkut di Gallipoli dan mengalami kekalahan yang besar, tentera bersekutu ini terpaksa berundur. Dianggarkan jumlah korban mencapai ratusan ribu.

Setelah tewas di Gallipoli, sebahagian besar tentera ANZAC dikumpulkan di Mesir. Bangsa Arab ketika itu telah berjaya disatukan atas dasar perkauman Arab hasil usaha seorang tentera British yang digelar Lawrence of Arabia. Di Mesir, tentera British, Perancis dan ANZAC disusun semula bagi mempersiapkan pasukan tentera yang akan menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah di Asia Barat.

Untuk menyerang Asia Barat, British telah membuat beberapa pakatan dengan kaum Yahudi, Perancis dan Abdul Aziz Bin Saud. Kaum Yahudi dijanjikan negara Yahudi di Palestin dan Perancis dijanjikan sebuah kawasan yang sekarang ini digelar Syria. Abdul Aziz Bin Saud yang mengetuai kabilah-kabilah Arab dijanjikan kemerdekaan dari Turki Uthmaniyyah. Pada masa ini, Mekah dikuasai oleh Syarif Hussein dan dengan bantuan British, Abdul Aziz Bin Saud berjaya menghalau Syarif Hussein dari Mekah, dan seterusnya menguasai sebahagian besar Semenanjung Arab.

Pada 31 Oktober 1917, tentera British, Perancis dan Arab yang dipimpin Sir Edmund Allenby mula menyerang Palestin. Tentera Turki Uthmaniyyah yang mempertahankan bumi Palestin tewas dan dari situ, tentera pimpinan General Allenby menyerang kawasan utara Palestin (Lubnan, Jordan, Syria, Iraq). Tentera Turki Uthmaniyyah gagal mempertahankan kawasan tersebut dan terpaksa melepaskan kawasan yang luas kepada tentera musuh.

Pada 2 November, Setiausaha Luar British, Arthur Balfour telah menghantar sekeping surat kepada Lord Walter Rothschild, ketua kaum Yahudi di British. Surat itu menyatakan sokongan British dalam membantu mewujudkan sebuah negara Yahudi di Palestin. Surat ini akhirnya dikenali dengan nama Deklarasi Balfour. Sebuah deklarasi yang menjelaskan hubungan akrab kaum Yahudi dengan British. [5]

Setelah beratus-ratus tahun Palestin berada di bawah kuasa Islam, tahun 1917 menyaksikan perjuangan musuh Islam telah berjaya. Gaza ditawan pada November 1917 dan Jerusalam ditawan pula pada Disember 1917. Pada 11 Disember, General Allenby menjejakkan kaki ke Jerussalam dan akhirnya impian kaum Yahudi sudah hampir menjadi kenyataan. Tiada lagi orang Islam yang mampu mempertahankan Tanah Suci ini. Tiada lagi panglima sehebat Salahudin al-Ayubi untuk menghalau mereka dari Tanah Suci milik Islam ini.

Setelah berakhirnya Perang Dunia pertama, kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengecil dan makin lemah. Ia telah hilang Libya di tangan Itali dan kawasan selatan di Asia Barat ditawan oleh British dan Perancis. Yang lebih perit, Palestin hilang di tangan musuh. Ambang kehancuran empayar Islam terakhir ini makin hampir.

Pada tahun 1924, Mustapha Kamal Attaturk yang terkenal di kalangan rakyat atas kejayaannya mengalahkan tentera musuh di Gallipoli dilantik untuk menggantikan khalifah yang lemah. Bersempena pelantikannya, Mustapha Kamal Attaturk mengumumkan penubuhan Republik Turki dan khilafah Islam dibubarkan. Beliau sendiri dipilih sebagai Presiden Pertama Republik Turki. Setelah lebih daripada 600 tahun mengetuai umat Islam di serata dunia, empayar Turki Uthmaniyyah hancur di atas tangan Mustapha Kamal Attaturk.

Peperangan di Gallipoli sebenarnya tanpa disedari oleh umat Islam adalah suatu perangkap. Tentera Turki di Gallipoli telah diketuai oleh Mustapha Kamal At-Tarturk dan kemenangan di Gallipoli menaikkan nama beliau di mata rakyat. Peperangan lain yang tidak diketuai oleh Mustapha Kamal at-Tarturk pasti akan mengalami kekalahan yang besar dan hanya beliau yang mampu memberikan kemenangan kepada kerajaan Turki Uthmaniyyah. Musuh Islam telah berjaya menipu umat Islam dengan licik sekali.

Abdul Aziz Bin Saud dilantik oleh British mengetuai sebuah negara yang kini bergelar Arab Saudi. Generasi keluarga Syarif Husein, bekas pemerintah Mekah diberikan kawasan di Asia Barat. Anak-anaknya menjadi raja di Syria, Lubnan, Jordan dan Iraq.

Kejatuhan khilafah Islam yang terakhir ini telah membangkitkan perasaan jihad di seantero dunia. Di Mesir, Hassan al-Banna telah menubuhkan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928 [6].Pergerakan ini telah hampir berjaya menewaskan tentera Israel dan menguasai Palestin semula namun campurtangan British telah melemahkan pergerakan ini. Di Tanah Melayu dan Indonesia, wujud beberapa pergerakan yang menyeru supaya umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang satu dan bersatupadu atas dasar agama dan bukannya atas dasar nasionalisme. Di Afghanistan, umat Islam telah mula sedar kesan kejatuhan khilafah dan telah bersatu padu buat seketika lalu menghalau tentera Rusia dari bumi Afghanistan. Namun, selepas itu, bumi Afghanistan bergolak kembali dengan perpecahan sesama mereka. Sekarang, Afghanistan dan Iraq sedang dijajah oleh tentera Amerika.

Di sini kita dapat lihat peranan musuh Islam dalam menjatuhkan empayar Islam yang terakhir. Mereka telah berjaya menghasut umat Islam sendiri untuk bersatu-padu atas dasar perkauman dan bukan lagi atas dasar Islam. Kejatuhan khilafah Islam seterusnya memecahkan umat Islam di serata dunia dan sehingga sekarang, umat Islam diancam pelbagai masalah yang makin meruncing.

Setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama, pada tahun 1941 telah dibina Australia War Memorial di Canberra. Di Melbourne, tugu peringatan ini dikenali dengan nama Shrine of Remembrance. Tugu ini adalah untuk memperingati pengorbanan tentera ANZAC yang berjuang di merata dunia.


Tanggal 25 April setiap tahun adalah merupakan cuti umum bagi Australia dan New Zealand. Hari ini adalah Hari ANZAC. Perarakan bekas-bekas pejuang ANZAC akan diadakan di setiap tugu peringatan di kedua-dua negara.

Jikalau anda akan berkunjung ke salah sebuah tugu peringatan ini, jangan lupa di sebalik tugu peringatan ini terselit sebuah kisah duka. Kisah kejatuhan khilafah Islam. Kisah perpecahan umat Islam dan kisah kehilangan empayar Islam. Sesungguhnya di Australia War Memorial ini, mengingatkan daku akan kisah pahit duka umat Islam. [7]

1 comment:

nhhas said...

”Siapa yang banyak waktu untuk membaca, maka dia pasti bahagia kerana telah memetik bunga dari taman alam semesta, telah mengelilingi keajaiban dunia dan boleh melipat waktu dan tempat"

p/s: i copy page ni juga yer