Dengan kekuatan seramai 20 orang, kami telah bertolak dari Melbourne pada pukul 1 pagi 25 september dan tiba di sana setelah mengharungi perjalanan lebih dari 200 km selama 3 jam setengah.
Setibanya di sana, kami berehat sebentar dan seterusnya mengerjakan solat subuh berjemaah di tempat letak kereta di situ. Setelah itu, kami meneruskan aktiviti dengan pembacaan al-Mathurat dalam keadaan cuaca mendung yang sejuk menggigit tulang.
Pada hari itu, aku beserta teman telah menyertai pelbagai aktiviti yang di antaranya paling menarik dan indah ialah perjalanan mengikuti denai di Wilson Promontory ini (jungle trekking). Perjalanan ini mencapai jarak 10 km dan kami bermula di atas sebuah bukit. Langkah demi langkah aku mengharungi denai yang pada mulanya sentiasa mendaki ke arah puncak. Dalam keadaan sedemikian, aku juga diberi sebuah kertas hafalan al-anfal 1-5 yang kukira cukup menarik dan tidak pernah aku lakukan selama ini. Dalam ketika aku menghayati keindahan alam sekeliling, hatiku juga menghayati dan mengingati keagungan ciptaan Tuhan dalam bentuk hafalan kitab-Nya yang agung, Al-Quran.
“Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penempatan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya, dan Dia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaan-Nya dan kemurahan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam,” 40: 64.
Bukit demi bukit kudaki dan kuturuni dan pelbagai keindahan ciptaan Tuhan sekelian alam dapat kulihat. Setibanya kami di puncak, aku menemui pelbagai bentuk batu yang bertaburan di situ, ada yang besar dan ada yang kecil. Aku lantas pergi ke batu yang paling besar dan paling tinggi sekali. Dari batu ini, aku dapat lihat jauh sayup ke bawah, pohon-pohon hijau yang bertaburan di bawah. Dari batu ini, aku dapat lihat ombak laut yang putih lagi jernih menghempas pepasir pantai yang bersinar dek cahaya sang suria. Dari puncak bukit setinggi 500-600 meter, aku dan rakan-rakan dapat melihat Laut Tasmania dan Lautan Atlantik. Sungguh biru warna lautan dan sungguh nyaman rasanya melihat deburan ombak menghempas pantai. Dari jauh kudapat lihat hampir keseluruhan Wilson Prom ini. Dari batu yang ku berdiri di atasnya, aku dapat menikmati angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan dapat kuhirup angin segar lagi nyaman lagi sejuk. Hembusan angin nyaman menghilangkan buat seketika segala kegusaran yang ada di hatiku ini. Dari puncak ini juga dapat kulihat kepelbagaian bentuk pantai yang ada di sini. Ada batuan yang bentuknya seakan-akan lidah dan ada beberapa buah pulau yang bertaburan nun jauh di lautan sana. Kesemua pulau-pulau itu tidak berpenghuni dan hanya hiruk-pikuk burung camar menjadi hiburan kami di puncak ini.
Sinaran rembulan yang terang lagi indah mengingatkan aku agar untuk bersyukur atas apa yang dikurniakan Illahi selama ini. Kita sering lupa akan nikmat Illahi sehinggalah nikmat-nikmat itu meninggalkan diri kita ini. Kita lupa untuk menggunakan nikmat mata sebaik-baiknya, sehinggalah kita ditakdirkan buta. Kita lupa untuk menggunakan nikmat masa sehinggalah kita dijemput ke kubur.
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” 103:1-3
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Kau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya,” 3:8
Pada keesokan harinya, kami meninggalkan Wilsom Promontory yang banyak meninggalkan kenangan indah lagi manis dalam hati ini. Ia banyak mengingatkan aku akan tanggungjawab seorang daie dalam membangunkan semula akan keagungan Islam yang kini luput dari ingatan penganut-Nya. Biarlah apa orang akan kata, namun aku harus berusaha sedaya-upaya dan tetap teguh dalam perjuangan yang panjang ini. Jika aku tidak dapat melihat akan hasil perjuangan ini, biarlah keturunanku dapat meneruskan perjuangan yang nan suci ini....
Sesungguhnya dalam diri seorang pejuang, hatinya harus bersih daripada segala-gala belenggu dunia yang fana ini dan dirinya harus selalu bermuhasabah agar setiap tindak-tanduknya tetap berlandaskan kerangka wahyu Illahi.
“Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya)...” 63:9