Pages

Thursday, September 30, 2004

wilson promontory national park....

Pada 24 hingga 26 Sept, aku telah mengikuti rombongan ke Wilson Promontory National Park yang kukira merupakan tempat paling selatan di bumi Australia ini. Banyak telah kupelajari dan tatapi daripada perjalanan yang sunguh bermakna ini.

Dengan kekuatan seramai 20 orang, kami telah bertolak dari Melbourne pada pukul 1 pagi 25 september dan tiba di sana setelah mengharungi perjalanan lebih dari 200 km selama 3 jam setengah.

Setibanya di sana, kami berehat sebentar dan seterusnya mengerjakan solat subuh berjemaah di tempat letak kereta di situ. Setelah itu, kami meneruskan aktiviti dengan pembacaan al-Mathurat dalam keadaan cuaca mendung yang sejuk menggigit tulang.

Pada hari itu, aku beserta teman telah menyertai pelbagai aktiviti yang di antaranya paling menarik dan indah ialah perjalanan mengikuti denai di Wilson Promontory ini (jungle trekking). Perjalanan ini mencapai jarak 10 km dan kami bermula di atas sebuah bukit. Langkah demi langkah aku mengharungi denai yang pada mulanya sentiasa mendaki ke arah puncak. Dalam keadaan sedemikian, aku juga diberi sebuah kertas hafalan al-anfal 1-5 yang kukira cukup menarik dan tidak pernah aku lakukan selama ini. Dalam ketika aku menghayati keindahan alam sekeliling, hatiku juga menghayati dan mengingati keagungan ciptaan Tuhan dalam bentuk hafalan kitab-Nya yang agung, Al-Quran.

“Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penempatan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya, dan Dia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaan-Nya dan kemurahan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam,” 40: 64.

Bukit demi bukit kudaki dan kuturuni dan pelbagai keindahan ciptaan Tuhan sekelian alam dapat kulihat. Setibanya kami di puncak, aku menemui pelbagai bentuk batu yang bertaburan di situ, ada yang besar dan ada yang kecil. Aku lantas pergi ke batu yang paling besar dan paling tinggi sekali. Dari batu ini, aku dapat lihat jauh sayup ke bawah, pohon-pohon hijau yang bertaburan di bawah. Dari batu ini, aku dapat lihat ombak laut yang putih lagi jernih menghempas pepasir pantai yang bersinar dek cahaya sang suria. Dari puncak bukit setinggi 500-600 meter, aku dan rakan-rakan dapat melihat Laut Tasmania dan Lautan Atlantik. Sungguh biru warna lautan dan sungguh nyaman rasanya melihat deburan ombak menghempas pantai. Dari jauh kudapat lihat hampir keseluruhan Wilson Prom ini. Dari batu yang ku berdiri di atasnya, aku dapat menikmati angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan dapat kuhirup angin segar lagi nyaman lagi sejuk. Hembusan angin nyaman menghilangkan buat seketika segala kegusaran yang ada di hatiku ini. Dari puncak ini juga dapat kulihat kepelbagaian bentuk pantai yang ada di sini. Ada batuan yang bentuknya seakan-akan lidah dan ada beberapa buah pulau yang bertaburan nun jauh di lautan sana. Kesemua pulau-pulau itu tidak berpenghuni dan hanya hiruk-pikuk burung camar menjadi hiburan kami di puncak ini.
Seterusnya, kami meneruskan perjalanan menuju ke tepian pantai. Langkah demi langkah aku hayunkan dalam menuruni bukit yang kukira cukup tinggi dan setelah hampir sejam mengharungi pelbagai rintangan sepanjang perjalanan ini, akhirnya kami tiba juga di pantai.
Aku kira pantai yang kami temui bukanlah pantai dalam erti kata yang sebenarnya. Tiada pasir yang menyambut ketibaan kami di hujung perjalanan ini. Yang ada hanyalah pelbagai batuan yang cukup besar dan aneh bentuknya. Untuk turun ke bawah, kami perlu menuruni dengan berhati-hati dalam memijak batuan yang basah dihujani deburan ombak putih laut. Yang ada hanyalah ombak laut yang ganas dan gerun bunyinya. Air laut yang biru pekat warnanya memenuhi setiap pelusuk pemandangan kami. Kelihatan di hadapanku, ombak yang menghempas batuan yang kuberdiri di atasnya. Percikan ombak membasahi mukaku. Nyaman rasanya melihat pemandangan ini. Jauh di atasku, kelihatan beberapa ekor burung berlegar-legar mencari ikan nun jauh di dalam lautan. Jauh di hujung lautan, aku dapat melihat gunung-ganang yang bertemu dengan Lautan Atlantik lantas membentuk sebuah tanjung yang besar. Sang suria kelihatan bersembunyi di sebalik awan dan keadaan menjadi semakin mendung.
Aku hirup udara yang bercampur dengan biasan ombak laut. Segar rasanya. Sungguh indah apa yang aku dapat lihat ini. Sesungguhnya Islam itu ialah tunduk patuh pada setiap perintah Allah. Laut, udara, batuan, butir-butir pepasir telah lama menjadi Muslim. Sesungguhnya pada setiap muslim, ada ketenangan yang dapat dinikmati. Alhamdulillah, Allah telah pilih daku untuk menjadi Muslim, moga-moga hidayah ini kekal hingga ke akhir hayat.....
Ada batu yang cukup besar di mana kami dapat berdiri di atasnya sambil melihat puncak bukit yang kami tinggalkan. Batu ini cukup besar dan tajam. Jika kami terjatuh dari batu ini, pelbagai batuan yang kecil dan tajam bakal menyambut kami. Batu ini kuanggarkan setinggi 10-12 meter dan pelbagai gambar kami ambil di situ.
Pada malamnya, setelah selesai membina khemah, kami mendengar tazkirah yang disampaikan oleh salah seorang daripada kami dan selepas itu, melihat persembahan dari setiap kumpulan yang telah pun dibahagikan. Dalam kami mendengar tazkirah, tempat kami berkhemah dari detik ke detik mula diterangi oleh sinar rembulan. Sinar rembulan Syaa’ban menyinari tempat kami berkhemah seolah-olah memperlihatkan keagungan majlis ilmu yang kuhadiri ini. Subhanallah....

Sinaran rembulan yang terang lagi indah mengingatkan aku agar untuk bersyukur atas apa yang dikurniakan Illahi selama ini. Kita sering lupa akan nikmat Illahi sehinggalah nikmat-nikmat itu meninggalkan diri kita ini. Kita lupa untuk menggunakan nikmat mata sebaik-baiknya, sehinggalah kita ditakdirkan buta. Kita lupa untuk menggunakan nikmat masa sehinggalah kita dijemput ke kubur.

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar” 103:1-3

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Kau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya,” 3:8

Pada keesokan harinya, kami meninggalkan Wilsom Promontory yang banyak meninggalkan kenangan indah lagi manis dalam hati ini. Ia banyak mengingatkan aku akan tanggungjawab seorang daie dalam membangunkan semula akan keagungan Islam yang kini luput dari ingatan penganut-Nya. Biarlah apa orang akan kata, namun aku harus berusaha sedaya-upaya dan tetap teguh dalam perjuangan yang panjang ini. Jika aku tidak dapat melihat akan hasil perjuangan ini, biarlah keturunanku dapat meneruskan perjuangan yang nan suci ini....

Sesungguhnya dalam diri seorang pejuang, hatinya harus bersih daripada segala-gala belenggu dunia yang fana ini dan dirinya harus selalu bermuhasabah agar setiap tindak-tanduknya tetap berlandaskan kerangka wahyu Illahi.

“Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya)...” 63:9

No comments: