Pages

Wednesday, February 09, 2005

100 tahun meneroka sejarah....

2005 menandakan tahun ke 100 bekas sekolah menengah aku menempatkan dirinya di dalam sejarah Malaya, Semenanjung Tanah Melayu dan Malaysia. Ditubuhkan pada 1905 dan menerima kemasukan pelajar pertama pada 2 Januari 1905, ia telah banyak mencorakkan sejarah negaraku ini. Antara gelarannya ialah "the Eton of the East' sempena mengambil nama Eton, institusi pendidikan terunggul di England yang ditubuhkan pada 1440 oleh King Henry VI.

1905 - 2005

Merupakan antara binaan tertua di bandar kelahiranku dengan struktur Graeco-Romannya, ia jelas mencorakkan peta landskap di bandarku ini. Kalau anda berkunjung ke bandarku ini, tidak sah jika tidak berkunjung ke sekolahku ini yang agak unik dan berbeza daripada sekolah-sekolah ternama di seluruh pelusuk Malaysia. Bandar Diraja adalah gelaran bandar kelahiranku dan sekolahku ini dahulunya juga merupakan sekolah diraja, khas untuk golongan sultan, bangsawan dan yang elit sahaja.

Sekolahku....namanya bukan bermula dengan perkataan sekolah. Lambangnya berasaskan 4 warna negeri di Malaysia. Namanya...Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Namanya digeruni lawan dan kawan. Ramai orang yang bermimpikan untuk memasuki MCKK dan tidak kurang juga yang mengkiritiknya.

100 tahun berlalu, pelbagai nama dan tokoh pemimpin telah dilahirkan.

Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz, bekas DYMM Yang Di-Pertuan Agong; Tuanku Jaafar, Sultan Azlan Shah, sultan Perak; Almarhum Tunku Hishamuddin Alam Shah, bekas Sultan Selangor; Allahyarham Datuk Onn Jaafar; Allahyarham Tun Abdul Razak, Dato Seri Anwar Ibrahim, Pendeta Zaba; Tan Sri Musa Mohamad; Dato Seri Hishamudin Hussain; Dato Seri Effendi Norwawi; Tan Sri Razali Ismail; Tan Sri Hassan Merican, bekas CEO Petronas; Tan Sri Saleh Sulong; Tan Sri Halim Saad; Tun Haniff Omar; Tan Sri Abdullah Ahmad; Dr Hatta Ramli; Hishamudin Rais...... merupakan sebahagian kecil daripada mereka yang telah dilahirkan oleh MCKK.

Kalau anda menggunakan PLUS Highway dan melihat di papan iklan besar yang berada di sepanjang lebuh raya, pasti anda akan melihat perkataan 'BigTree'. Big Tree merupakan syarikat pengiklanan yang terkenal dan nama 'Big Tree' itu sebenarnya diambil daripada sebuah pokok besar di MCKK. Pengaruh bekas pelajar MCKK @ MCOBA sebenarnya amat meluas dan pernah satu ketika dikatakan berjaya mengawal sektor ekonomi, politik dan kesultanan di Malaysia. Hampir kesemua bekas pelajar MCKK mempunyai seakan-akan semangat 'asabiyyah' kerana terlalu mengagung-agungkan sekolah terpencil di bandar Kuala Kangsar yang kecil.

big tree

Teringat aku kembali pengalamanku di MCKK. Aku memasuki MCKK ketika di Tingkatan 4 dan tatkala itu, pelbagai cabaran dan dugaan yang menimpaku. Ada yang pahit, ada yang manis namun itulah yang mewarnai kehidupanku selaku pelajar MCKK.

Pada zaman awal penubuhannya, MCKK berjaya menempa nama selaku institusi pendidikan terulung di Malaysia atas kecemerlangan di bidang akademik dan sukannya. Namun, pada zamanku, sekolahku ini mula mengalami zaman kemerosotannya di dalam bidang akademik. Oleh kerana terlalu menumpukan terhadap kegiatan ko-kurikulum, akademik hampir tergadai.

Bayangkanlah, hampir setiap sukan yang kami ceburi, pasti kami bergelar juara. Sekurang-kurangnya juara negeri. Ragbi, bola sepak, kriket, polo air, tenis, badminton, bola keranjang, bola baling, hoki, bola tampar, sepak takraw, olahraga....MCKK mendominasi di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pada zamanku, sukan ragbi hampir berjaya mencipta sejarah. SAS, STAR...antara musuh tradisi kami, kami telah tewaskan mereka. Kolej Vajiravudh, Bangkok, Thailand hampir-hampir kami tumpaskan di bumi Kuala Kangsar.

west wing

Untuk debat pula, MCKK pasti dicemburui ramai malah aku boleh mengira berapa ramai di antara SBP yang ingin melihat sekolahku ini tewas. Tunku Kurshiah College, Sekolah Alam Shah, Sekolah Sri Puteri ...merupakan musuh-musuh tradisi di dalam debat ini. Aku masih lagi mengingati pertarungan sengit dalam perdebatan pelbagai peringkat.

Dan di MCKK ini jugalah yang menemukan aku dengan Ihsan Khairir dan Cheme. Kami bertemu di suatu program yang mengumpulkan pelajar-pelajar terbaik SBP di seantero Malaysia. Selama beberapa hari, kami dilatih untuk menajamkan teknik menjawab soalan Matematik Tambahan dan Fizik di PERMATA. Aku dan Ihsan merupakan teman sebilik namun kami berada di dalam kumpulan yang berbeza.

Dan kerana program itulah juga, peperiksaan percubaan SPM di MCKK dilanjutkan seminggu. Kami, peserta program dan peserta debat yang bertanding di peringkat kebangsaan menduduki trial SPM lewat seminggu dari tarikh asal.

Aku masih ingat lagi betapa sibuknya menjadi seorang pelajar MCKK. Pada awal tahun, tatkala kelas mula dibuka...kami disibukkan dengan kejohanan sukan tahunan yang berlangsung. Tatkala cikgu sibuk mengajar, fikiran kami melayang ke padang memikirkan strategi untuk mengalahkan rumah sukan lagi satu. Di kala cikgu memberikan latihan untuk disiapkan, kami sibuk melakarkan program latihan untuk memenangi kejohanan sukan tahunan. Bagi yang terlibat dengan debat dan kuiz, mereka akan asyik berada di dalam 'invisible mode' di kelas lantaran sibuk dengan persediaan yang rapi. Ketika kami sibuk bertelagah dalam menentukan wakil rumah sukan bagi setiap jenis sukan, para guru pula sibuk 'bertelagah' berebutkan pelajar untuk mewakili kuiz atau sukan atau debat masing-masing. Hehe...suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Di pertengahan tahun, kami sibuk pergi menyokong wakil kolej yang memasuki peringkat negeri. MCKK mempunyai pasukan soraknya yang tersendiri dan mempunyai lagu sorakan sekurang-kurangnya 30 buah lagu dan kesemuanya kami pahat di dalam hati. Tiada satu sekolah di Malaysia yang mampu menandingi kekuatan sorakan kami dan tiada siapa yang memiliki lagu sorakan seunik MCKK. Bukan setakat menyanyi, kami juga mempunyai gerakan tertentu berdasarkan setiap lagu.

Di akhir tahun, ketika sekolah-sekolah lain sibuk dengan suasana peperiksaan dan ramai yang mula berhenti dari kegiatan ko-kurikulumnya, kami di MCKK sibuk dengan persiapan untuk peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ketika inilah, kami mengadakan perlawanan tahunan dengan pelbagai sekolah lain dan di antaranya ialah perlawanan ragbi tahunan dengan Kolej Vajiravudh dari Thailand.

Selaku Sekolah Berasrama Penuh tertua di Malaysia, MCKK memiliki sejarah dan tradisi yang tiada pada SBP lain. Ada tradisi yang baik dan ada yang buruk, namun kesemuanya diwarisi sejak turun-temurun.

quadrangle

rumah berhantu....tiada siapa yang sanggup mendiaminya

Terlalu banyak pengalaman dan kenangan yang mencubit hatiku ketika bergelar pelajar MCKK. Namun, itulah sebahagian daripada kehidupanku dan ia akan kekal sebagai teladan dan pengajaran di kemudian hari.

2 comments:

Unknown said...

PMR berapa A? Abang aktif tak dlm kokurikulum?

Hafiz said...

PMR 8A. Aktif dalam bidang debat