IPOH 10 Jun - Pasangan diraja Jepun Maharaja Akihito dan Maharani Michiko hari ini tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini bagi lawatan sehari ke Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai Bandar Diraja.
Lawatan diraja berkenaan adalah bagi memenuhi janji yang tidak tertunai 15 tahun lepas kerana baginda berdua yang sedang melawat Malaysia terpaksa membatalkan jadual lawatan mereka ke Perak kerana jerebu teruk dari tompok-tompok panas di seberang Selat Melaka yang melanda negara ketika itu.
Kunjungan kali ketiga pasangan diraja Jepun itu ke Perak kali ini dianggap sebagai sesuatu yang istimewa kerana selain Malaysia, hanya Jerman, Amerika Syarikat dan Belgium pernah dilawati lebih dari dua kali oleh pasangan itu.
Dalam rangka lawatan hari ini, baginda berdua dijadualkan mengunjungi Istana Iskandariah, Galeri Sultan Azlan Shah dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selain melihat pokok getah yang tertua di Malaysia.
Pasangan diraja itu tiba dengan menaiki pesawat khas pada 11.15 pagi dan disambut oleh Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah dan adindanya Datuk Seri Raja Azureen sebelum bertolak ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar dengan menaiki kereta.
Turut menyambut ketibaan baginda ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, barisan exco kerajaan negeri dan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Zainal Tahir.
Rombongan diraja itu kemudiannya disambut oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun dan semua anggota keluarga kerabat diraja di istana berkenaan.
Sementara itu di KUALA KANGSAR, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko dibawa melawat Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan.
Baginda berdua tiba di galeri berkenaan pada 3.10 petang dengan diiringi oleh Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.
Galeri yang dirasmikan pada 7 Disember 2003 oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah itu bertujuan menjadikannya sebagai sebuah gedung ilmu pengetahuan yang berfungsi mengumpul, menyimpan, memelihara, menyelidik, mempamer dan menerbitkan segala khazanah sejarah serta warisan kesultanan dan kebudayaan Istana Negeri Perak Darul Ridzuan.
Sebelum dijadikan galeri, ia merupakan Istana Hulu atau Istana Kota Bukit Chandan yang kemudiannya dipilih sebagai Galeri Diraja Negeri Perak berdasarkan bangunan berkenaan yang merupakan istana lama berusia hampir 100 tahun (dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903).
Maharaja Akihito dan Maharani Michiko yang turut menandatangani buku pelawat galeri itu meluangkan masa hampir 20 minit melihat bahan pameran seperti lanca, basikal yang digunakan oleh Sultan Azlan semasa zaman persekolahan serta susur galur Kesultanan Perak melalui pameran bergambar mengenai sultan terdahulu.
Turut dipamerkan ialah gambar pembabitan Sultan Azlan Shah dalam sukan hoki, gambar keluarga diraja dan sejarah kehidupan Sultan Azlan Shah dari zaman persekolahan baginda hingga pencapaian tertinggi dalam bidang perundangan serta pemerintahan negara.
Pasangan diraja Jepun kemudiannya meninggalkan galeri berkenaan untuk melawat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan dalam perjalanan itu baginda berdua berkesempatan melihat pokok getah tertua di Malaysia yang terletak berdekatan dengan Pejabat Daerah Kuala Kangsar.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment