Pages

Wednesday, August 10, 2005

pengalaman yang lalu

Berlalunya program Winter Trip 05 pada bulan yang lalu, telah banyak mengajarkan daku akan erti kehidupan seorang insan. Menjejakkan kaki ke bumi Canberra, aku bertemu dengan keindahan rupa bentuk bangunan Parlimennya. Kagum sebentar melihat kehebatan manusia mencipta bangunan yang cukup unik itu. Tiang bendera Australia yang seakan terapung-apung di udara yang membayangkan kemegahan Australia di serata pelusuk dunia.

Kemudian, melihatkan bangunan War Memorial....aku teringatkan kisah silam umat Islam. Kisah jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah di bawah pelbagai bentuk serangan dari pihak musuh. Dan kini, berpecah-belahlah umat islam tanpa naungan seorang khalifah. Umat yang asalnya bersatu-padu atas dasar agama kini bertelingkah dan bermusuhan sesama sendiri. Nama islam namun hatinya terlalu kuat mementingkan semangat bangsa. Bilakah islam akan kembali bangkit memegang tampuk dunia? Bilakah lagi akan berulangnya kisah kegemilangan agama islam yang suci?

Dari Canberra, aku merentasi gunung-ganang luas lalu bertemu dengan bandaraya Sydney. Bandaraya terbesar dan gah dengan pelbagai keindahan. Bangunan Sydney Opera House yang unik bentuknya dan kawasan sekitar yang penuh dengan pelbagai struktur menarik. Bangunan pencakar langit yang tinggi.

Sekali kagum melihat keindahan tempat itu. Pelabuhannya sibuk dengan pelbagai kapal berbagai-bagai saiz. Ada yang kecil dan ada yang besar. Feri yang berlainan jenis secara teratur melayari pelabuhan yang makin lama makin sibuk. Sydney, bandaraya indah namun dipenuhi dengan ramai manusia yang lupa akan matlamat asal kehidupan.

Setelah sehari berada di Sydney, kami memulakan pengembaraan yang kukira jauh. Ke Adelaide, itulah matlamat kami. 20 jam pengembaraan, tidak kurangnya pengalaman pahit mahupun manis yang telah ditimba.

Ada suatu ketika, tatkala kami sedang enak dibuai mimpi sambil pemandu memandu van dengan cermatnya.....tiba-tiba kedengaran bunyi kuat di bawah van. Seakan-akan bunyi tayar meletup lalu pancit. Cemas. Kami berhenti di tepi lebuhraya. Ketika itu malam gelap. Hanya bintang dan bulan menemani kami. Van lain sudah jauh meninggalkan kami bersendirian di tengah-tengah padang pasir. Kulihat tayar ok. Tiada yang pancit. Kulihat kesemua keempat tayar. Semuanya sempurna. Aku cuba mencari punca bunyi tadi.

Oh! Benda paling jarang berlaku. Tidak kusangka sekali. Tayar simpanan (spare tyre) kami hilang entah ke mana. Besi yang menutupi spare tyre kami tercabut dan ia terseret di atas jalan raya. Bunyi besi yang bergeseran di atas jalan bertar inilah bunyi yang kami dengar tadi.

Panik. Bingung. Apakah yang kami langgar tadi? Di manakah spare tyre itu. Sekeliling kami, padang pasir luas dan di sebelah kami, jalan raya yang sunyi sepi. Kami berpakat untuk mencari tayar yang hilang itu. Berbekalkan lampu suluh kecil, kami cuba mencarinya. Dua pusingan kami lakukan namun hampa. Tayar yang dicari tidak diketemui. Yang dijumpai ialah sebuah tayar lama, kayu yang merentasi jalan raya dan pelbagai serpihan tayar. Benda yang kami langggar, kami tidak menjumpainya. Mungkin ia batu, mungkin ia kayu....atau mungkin....Persoalan itu tidak mempunyai jawapan yang pasti.

Hampa. Pasrah. Kami meneruskan perjalanan ke Adelaide. Mungkin ada hikmah di sebalik ini.

Sampai di sempadan New South Wales dan Southern Australia, van kami ditahan. Seorang pakcik bertanyakan kami samada kami membawa buah-buahan dan sayur-sayuran atau tidak. Kami meng'iyakan. Seterusnya kami diarahkan memberikan kesemua buah-buahan yang kami miliki. Rupa-rupanya, buah-buahan dan sayur-sayuran tidak boleh dibawa keluar dari New South Wales. Habis semua buah yang kami bawa. Bertambahlah pengalaman pahit kami. Pelik juga memikirkan hal ini.

Setelah beberapa jam mengembara tanpa 'spare tyre' mahupun buah untuk dibawa, akhirnya kami sampai jua di Adelaide. Setibanya di sana, kami berkumpul sekali dan daripada situ kami tahu pelbagai kisah malang yang menimpa van lain. Ada sebuah van dilangggar (melanggar) seekor wombat dan alhamdulillah, van masih lagi di dalam keadaan baik. Sebuah van lagi telah membeli buah-buahan dalam sebuah plastik yang besar namun telah dirampas di sempadan. Pengembaraan yang cukup mencabar dan telah meningkatkan pengalamanku ini.

5 hari berkelana. 3 negeri direntasi. Banyak pengalaman mahupun kenangan dikutipi.

bersambung...

No comments: