Pages

Saturday, August 13, 2005

pengembaraan yang lalu

Pengembaraan selama 5 hari ini menyedarkan diriku akan suatu hakikat yang seringkali dilupai. Hakikat yang kadangkala kita sendiri tidak ingin mengakuinya. Hakikat yang akan terjadi dan sedang berlaku pada diriku ini. Hidup ini hanya semata-mata sebuah pengembaraan dari alam ruh melalui alam dunia menuju ke alam baqa dan destinasi akhir ialah alam akhirat.

Semua manusia yang diberikan nikmat kehidupan tatkala ini sedang mengembara. Dari alam ruh kita dibangkitkan dan di alam akhirat kita semua akan dikumpulkan. Pengembaraan di alam dunia merupakan satu-satunya pengembaraan yang sukar sekali. Di alam ruh, kita semua berjanji untuk tetap teguh dan patuh pada perintah Tuhan namun apabila mengembara di alam dunia, sebahagian besar kita terlupa. Lalai dan hanyut menikmati keindahan dunia fana. Apabila kita melangkah ke alam baqa dan alam kiamat, ramai yang menyesal tidak terperi.

Di dalam pengembaraan ini, kita dikurniakan pelbagai nikmat beserta ujian. Fitrah manusia, kita seringkali terlupa. Kita lupa nikmat itu sementara. Kita lupa ujian itu adalah pembersih jiwa yang kotor diselaputi dosa. Kita seringkali terlupa. Atas dasar itulah, kita seharusnya mencari majlis-majlis atau aktiviti yang mampu memperingatkan diri ini.

Dari Ibn Umar r.a., katanya : " Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ' Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ' Maka Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati. "

-Sahih Bukari-
Hadis ini cukup bermakna sekali. Apa tujuan kita di dunia ini? Apakah cara terbaik untuk menjalani hidup di dunia ini? Semuanya terkandung di dalam hadis ini.

Anggaplah diri ini selaku seorang pengembara. Selaku seorang pengembara, diri ini sepatutnya merindui tempat yang ditujui. Alam dunia ini hanyalah sementara. Alam akhirat itu yang kekal abadi. Perasaan rindu akan alam akhirat seharusnya mengingatkan diri ini untuk mempersiapkan bekalan yang secukupnya untuk dibawa pulang ke alam akhirat. Selaku seorang pengembara, diri ini tidak seharusnya terlalu leka menikmati segala bentuk keindahan di tempat persinggahan ini.

Andainya diri ini leka menikmati nikmat masa yang terhad di dunia, ingatlah pengembaraan di alam dunia ini sangatlah pendek. Seumpama dalam sekelip mata, diri ini akan berada di alam akhirat.

Ada orang diberikan tanda-tanda apabila pengembaraannya di dunia ini akan berakhir. Dia akan jatuh sakit, atau dia mungkin ditimpa kemalangan lalu terlantar di hospital atau mungkin dia akan menerima mimpi kematiannya. Ada orang tidak akan diberikan tanda-tanda itu. Dia mungkin mati ditembak, mati akibat sakit jantung secara tiba-tiba atau mungkin mati di dalam tidur tanpa sempat berbuat apa-apa. Pendek kata, pengembaraan ini cukup singkat. Bersedialah untuk meneruskan pengembaraan ke alam baqa dan seterusnya ke alam akhirat.

Andainya diri ini mempunyai sahabat, ingatlah sahabat itu hanya sementara. Andainya diri ini mempunyai ibu bapa, percayalah mereka hanyalah sementara. Andainya diri ini dikurniakan ilmu dan harta yang banyak, ingatlah itu semua hanya sementara. Sahabat, ibu bapa, ilmu dan harta....semuanya akan meninggalkan diri ini tatkala diri ini berada di alam akhirat.

Andainya diri ini masih dikurniakan masa untuk merenungi akan pengembaraan yang lalu, renungilah akan bekalan yang telah dibawa setakat ini. Sudahkah ia cukup untuk diri ini berhujah di depan Pencipta? Sudahkah diri ini mempergunakan nikmat-nikmat yang dikurniakan-Nya dengan sebaik-baiknya? Tatkala diri ini sedang mempelajari ilmu perubatan, andainya diri ini mengeluh kerna kesusahan memahaminya.....ingatlah bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan kefahaman terhadap ilmu yang dipelajari. Ingatilah Tuhan, moga-moga Tuhan akan membantu diri ini memahami ilmu yang ingin difahami. Walaupun hakikatnya segala ilmu yang kita pelajari hanyalah sementara.

Andainya diri ini sibuk bekerja dan mengeluh keletihan, ingatlah bahawa jantung yang berdenyut sejak diri ini dilahirkan, tidak pernah sekali mengeluh. Andainya diri ini keletihan bekerja dan ingin berehat atau bercuti panjang, ingatlah bahawa jantung tidak pernah bercuti sehinggalah Allah yang memberikan arahan kepadanya untuk berhenti. Haruskah diri ini mengeluh keletihan melakukan sebarang bentuk pekerjaaan? Hakikatnya, segala bentuk pekerjaan yang kita lakukan juga adalah sementara.


Yang kekal di alam akhirat, hanyalah ketakwaan diri ini terhadap Illahi. Pengembaraan di dunia ini pendek. Gunalah nikmat yang diberikan sebaik-baiknya.


-ingatan buat diri ini yang alpa-

2 comments:

nhhas said...

alamak.terkesan lagi...
just for "sharing is caring" session :)
5 perkara yang tidak boleh ditinggalkan kerana dengan meninggalkannya boleh menyebabkan hati mati:

1. Jangan tinggal majlis ilmu.
2. Jangan tinggal bangun malam (beribadah).
3. Jangan tinggal baca al-Quran .
4. Jangan tinggal zikrullah.
5. Jaga pemakanan (yang halal dan baik).

sorry...copy above story of yours...
halal kan yer :)

Hafiz said...

boleh sahaja kalau nak salin artikel ni. Tulisan ini ikhlas dari hati. Semoga ia mampu menyedarkan kita tatkala kita alpa dengan dunia.