Pages

Wednesday, January 12, 2005

Cobram III

Cherry II

Jika anda memikirkan kerja sebagai 'fruit picker' ini terlalu susah dan letih berdasarkan apa yang aku telah tulis setakat ini, tunggulah sehingga aku menulis hingga ke post terakhir mengenai pekerjaanku ini ;) . Ada banyak perkara yang menarik yang dapat kupelajari dari pekerjaanku ini.

Dalam post aku yang terdahulu, aku pernah menyatakan mengenai lalat Cobram. Ingin sekali lagi aku menegaskan lalat Cobram sangat ganas dan aktif. Tatkala aku memetik strawberi mahu pun ceri, lalat pasti akan menghantui aku. Kekadang tu, tangan nak memetik ceri tapi kebiasaannya tanganku akan menepis lalat terlebih dahulu. Kekerapan tanganku menepis lalat yang tidak berperike-lalat-an menyebabkan prestasi aku dalam mengutip ceri menjadi perlahan.

Oh yer, lupa nak tulis....kalau kerja memetik ceri, kami bekerja dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari, di ladang ceri ini kami bekerja dari pukul 6 pagi hingga 2.30 petang. Buah ceri tidak mudah rosak seperti buah strawberi tatkala mentari mula bersinar terik di atas kepalaku.

Di dalam kesibukan aku bekerja memetik ceri dan strawberi, aku dapat mempelajari dua istilah atau slang Oz. 'smoko' dan 'knockoff'. Yang pertama bererti rehat selama 10 - 15 minit dan yang kedua, sebutannya seakan-akan 'no-kov' bermaksud berhenti kerja untuk hari itu. Sebutan yang paling kami tidak suka ialah 'knock-off'. Cubalah bayangkan tengah-tengah bersemangat nak bekerja, tetiba datanglah tuan ladang ceri kata 'knock-off' dan aku terpaksa berhenti dari terus bekerja. Memang sebutan 'no-kov' ni betul-betul mematahkan semangatku hendak bekerja dengan bersungguh-sungguh. 'Knock-off', suatu sebutan yang masih tergiang-giang lagi di dalam mindaku sampai ke saat aku menulis post ini. Suatu sebutan yang pasti tidak akan kulupakan sepanjang hayat.

Khemah I

Sepanjang kami berada di Cobram, kami tinggal di dalam khemah. Kami mendirikan 3 khemah kesemuanya, dua untuk tempat tidur dan satu lagi untuk kami letakkan segala barang makanan. Tempat perkhemahan kami sebenarnya berada di tengah-tengah ladang ceri dan kami hanya membayar sebanyak 3 dollar per person per week. Kemudahan yang disediakan agak lengkap juga. Tandas, dapur, peti sejuk dan televisyen disediakan oleh tuan ladang yang menjadi kemudahan bersama dengan pekerja-pekerja ladang lain. Kebanyakan pekerja di situ hampir kesemuanya adalah pemetik ceri yang berpengalaman.

Sepanjang perkhemahan kami di situ, pelbagai perkara pahit mahu pun manis aku alami. Pada hari pertama kami mendirikan khemah, kami diberikan amaran oleh seorang pakcik supaya tidak membuat bising selepas pukul 7 malam. Cubalah bayangkan Maghrib masa tu masuk sekitar 8.30 malam. Terpaksalah kami berhati-hati dalam bergerak sekitar khemah kerna dia tinggal di sebelah khemah kami.

Nama pakcik tu kami ketahui kemudiannya ialah Nicky namun kami suka menggelarkan dia dengan nama 'pakcik tayar'. 'Pakcik tayar' ni tidur seawal pukul 7 malam dan bangun untuk bekerja pukul 5.30 pagi.

Kenapa yer nama pakcik tu 'pakcik tayar'? Bukan sesuka hati kami nak panggil dia 'pakcik tayar' tapi ada sebabnya.

'Pakcik tayar' ni memang seorang yang pelik. Pada mulanya, kami ingat dia ada penyakit mental kerana cara percakapan dia agak pelik dan sukar difahami. Takut juga kalau-kalau kami buat bising malam-malam buta nanti dia bakar khemah. Yer lah, kalau orang sakit mental ni lebih baik jauhkan diri. Malah, orang Oz lain pun tak bercakap dengan dia. Di akhir-akhir perkhemahan kami, barulah aku ketahui dia sebenarnya seorang askar Navy yang telah bersara dan telah beberapa tahun melakukan pelbagai kerja untuk menyara diri. Usianya sekitar 40 an.

Berbalik semula kepada persoalan akan gelarannya. 'Pakcik tayar' ni merupakan seorang yang cukup menakjubkan dan tidak pernah aku jumpa akan orang sepertinya sepanjang aku hidup 21 tahun di bumi Allah yang luas ini. Dia tidak membawa sebarang peralatan perkhemahan untuk menginap di situ. Dia juga tidak mendirikan sebarang khemah untuk dia tidur pada waktu malam.

Tempat tidurnya cukup unik dan menginsafkan kami kesemuanya. Dia hanya tidur berbantalkan 'spare tyre' kereta miliknya. Dia tidur beralaskan papan yang diletakkan di antara dua tong besar. Dia hanya tidur berselimutkan bajunya yang usang sementara kakinya langsung tidak berstokin. Jika hujan, hanya sepasang kanvas kecil yang menutupi dirinya yang kesejukan. Jika angin bertiup kencang, hanya kekuatan semangatnya sahaja yang menemaninya. Tatkala lalat menghurungi dia tatkala dia tidur, hanya tidur yang nyenyak kami dapat lihat. Tidak langsung dia endahkan serangan lalat yang bertubi-tubi itu.

Tidak jauh dari tempat tidur 'pakcik tayar' ini, ada seorang lagi pakcik yang juga unik lagi pelik. Namanya kami tidak ketahui namun sikapnya cukuplah bertentangan dengan 'pakcik tayar'. Jika 'pakcik tayar' ini cukup 'zuhud dan bermujahadah', pakcik seorang ni seakan langit dan bumi. Bayangkan dia datang dengan jip pacuan empat roda dan mendirikan khemah. Khemah yang didirikannya bukan untuk dia tidur, namun dia meletakkan peti sejuk yang dibawanya sendiri di dalam khemah. Malah, dia sanggup menghubungkan peti sejuknya dengan 'power point' yang jauh letaknya demi memastikan peti sejuknya berfungsi. Kalaulah berlaku litar pintas, nescaya semua orang yang berkhemah situ sudah menemui ajalnya. Pakcik ni tidak sanggup meninggalkan dunianya walaupun di tempat perkhemahan. Suatu pengajaran buat diriku ini. Pakcik ni juga sering ketawa ketika bersendirian. Ketika dia mandi, ketika dia makan, ketika dia tidur, dia akan ketawa tanpa berhenti-henti.

Memang hidup kami mencabar sekali dengan adanya dua pakcik yang terus kami cop pesakit mental. Kalau kami ingin bercakap dengan mereka pun, terpaksa bercakap dengan berhati-hati. Manalah tahu percakapan kami mengguriskan hati mereka, kalau tidak nescaya hilanglah khemah dan kereta yang kami bawa dari Melbourne.

Bersambung...


No comments: