cuti tahun baru...aku kembali semula ke Melbourne kerna hari ini tiada kerja. Esok, aku akan pergi semula bekerja dan mungkin minggu ini merupakan minggu terakhir aku bekerja di ladang. Aku akan ceritakan kisah dan pengalamanku di ladang selepas berakhirnya kerjaku ini.
Pertama-tama sekali, aku ingin melahirkan rasa terkejut, sedih dan takziah buat beratus-ratus ribu mangsa tsunami yang melanda selatan Asia. Aku hanya mengetahuinya apabila aku balik ke rumah. Agak terlambat juga mengetahuinya.
Dunia akan berasa sedih, dunia akan menghulurkan bantuan kemanusiaan, dunia akan melaungkan agar dilancarkan tindakan pencegahan, manusia akan berganding bahu dalam usaha membina semula bandar yang musnah dilanda tsunami.
Namun, adakah itu sikap kita semua harus ambil? Fikirkanlah semula. Renungkanlah kembali akan bencana alam yang menimpa kita ini. Setiap kejadian yang menimpa, ada pengajaran yang dapat kita timba.
Aku jangka pada masa depan pelbagai idea akan diwarwarkan untuk mencegah kejadian seperti ini berulang semula. Namun, apabila aku melihat dan menyoroti kembali akan peristiwa besar ini...aku teringat semula pelbagai kisah-kisah duka dan pahit yang pernah menimpa umat manusia dalam sejarah.
Dunia pernah menyaksikan pelbagai tamadun yang musnah atas pelbagai sebab. Manusia telah menyaksikan pelbagai perang yang akhirnya manusia memahami akan hakikat buruk perang itu. Kita semua telah menyaksikan pelbagai bencana besar yang menimpa umat manusia pada abad ini. Gempa bumi, letusan gunung berapi, kemelesetan ekonomi, kebuluran...semuanya kita tahu dan ada di antaranya kita pernah alami.
Adakah tsunami ini akan menyedarkan manusia akan hakikat kematian?
Adakah tsunami ini akan menginsafkan kita akan betapa kerdilnya kita di alam buana ciptaan Tuhan?
Adakah tsunami ini akan mengembalikan fitrah manusia ke arah kebenaran?
Sekali tsunami melanda, adakah kita akan mengambil iktibar akan hakikat diri yang penuh diselaputi dengan pelbagai bentuk pemberontakan terhadap Tuhan. Marilah kita semua fikirkan dan renungi akan iktibar daripada tsunami ini.
Wallahuallam...
No comments:
Post a Comment