Pages

Monday, January 24, 2005

Wandin East II

Cherry III

Akhirnya, aku kembali semula mengutip ceri. Jika dahulu aku bekerja separuh hari, ladang ini pula memberikan peluang yang lebih luas kepadaku. Aku boleh bekerja dari pukul 6 pagi hingga pukul 5 petang. Ini bermakna kutipan ceriku akan lebih banyak dan gajiku juga akan berlipat kali ganda. Pekerjaan mengutip ceri ini sebenarnya adalah sangat lumayan, malah mampu mengatasi gaji guru pakar dan juga mengatasi gaji doktor di Malaysia.

Kami di sini dibayar mengikut 'piece-rate' dan setiap tray dibayar $7.50 di mana setiap tray seberat 9.5 kg. Kutipan maksimum kami mampu kutip dalam sehari ialah ** tray namun itu tidaklah seberapa kalau dibandingkan dengan pekerja yang berpengalaman. Di ladang ini, kami berjumpa seorang pakcik bangsa Vietnam yang berhijrah ke Australia dan telah berpengalaman luas dalam mengutip ceri. Seringkali kami berlumba-lumba untuk mengatasi kutipannya namun tidak pernah walau pun sekali kami mampu mengatasinya. Kutipan tertinggi pakcik itu ialah 45 tray dalan sehari dan secara puratanya dia mampu mengutip sekitar 28-30 tray sehari. Cubalah anggarkan gajinya pula...tidakkah mengutip ceri ini lumayan?

Namun, itu adalah gambaran kasar pengutip ceri yang berpengalaman. Kami pula mengutip dengan jumlah yang lebih rendah lagi lantaran pengalaman masih belum kami kuasai lagi. Ada kalanya kutipan kami tinggi dan ada kalanya kutipan kami hanya sedikit. Pendek kata, sebagaimana iman yang kerap turun naik, begitulah juga kutipan ceri kami :)

sekitar ladang di Yarra Valley.

Barisan pokok ceri yang tersusun rapi menunggu untuk dipetik

Buah ceri yang merah ranum... Sedap dan lazat...

Ceri yang bersembunyi di sebalik dedaunan hijau

Pokok oak berlatarbelakangkan Yarra Valley.

sungguh banyak buah ceri pada pokok ini...

Walaupun begitu, janganlah menyangka pekerjaan ini mudah. Di ladang ini, terdapat pelbagai jenis pokok ceri yang berlainan jenis dan berbeda ketinggiannya. Ada yang sangat tinggi dan ada yang rendah.

Kebiasaannya kami memanjat tangga untuk memetik ceri di hujung pokok. Tangga yang disediakan pula ada berbagai-bagai jenis mengikut ketinggiannya. Tangga terpendek ialah 5 kaki dan tangga tertinggi ialah 11 kaki yang amatlah berat untuk diangkat. Dari satu pokok ke satu pokok yang lain, kami perlu mengalihkan tangga ini dengan cepat supaya lebih banyak ceri dapat dikutip.

Pokok ceri ini pula kalau tinggi, amatlah tinggi sangat. Malah untuk memetik ceri di puncak pokok, aku perlu memanjat tangga hingga ke hujung namun begitu aku masih tak boleh mencapainya. Kadangkala, aku terpaksa berdiri di hujung tangga yang tinggi hanya untuk mencapai ceri yang tinggi itu. Aku terpaksa berhati-hati dalam mengimbangkan tangga dan badan supaya tidak jatuh. Kalau jatuh....

Perihal jatuh, ada sekali itu, aku ingin mencapai ceri di dahan yang tinggi. Ketika itu, aku berada di hujung tangga yang tinggi dan ceri itu pula berada tidak jauh dariku. Aku membongkokkan badan ke hadapan dan tangga mula bergoyang. Hanya sedikit lagi tanganku mampu mencapainya. Aku membongkok ke hadapan lagi. Tangga pun mula tidak stabil.

Tanpa kusedari, aku jatuh dari hujung tangga yang tinggi dan dalam masa tak sampai 2 saat itu, habis kesemua ceri yang kupetik jatuh bertaburan ke atas tanah. Aku jatuh ke atas tanah yang lembut dan sempat kutahankan telapak tanganku di atas tanah. Aku jatuh terbaring di atas tanah setelah merempuh dahan-dahan kecil dan besar dari atas pokok. Banyak dahan patah ketika itu.

Aku bangun semula dan melihat ke arah tangga. Tangga itu berada betul-betul di atas kepalaku namun ia tersangkut pada satu dahan besar. Kalau dahan itu tiada, pasti kepalaku lebam. Biarpun begitu, aku tidak serik. Aku meneruskan pekerjaanku dan menggunakan tangga yang lebih tinggi lagi. Biar jatuh tangga sekali pun, semangatku tidak akan sekali-kali luntur.

Ibarat kehidupan di dunia yang fana ini, kita selaku manusia yang lemah pasti akan diuji dan diazab. Adakalanya kita menyangka apa yang kita alami adalah ujian walhal ia adalah azab dan begitu juga sebaliknya. Contohnya Firaun tidak pernah jatuh sakit walau sekali dan itu menyebabkan dia berfikir bahawa dia adalah Tuhan sedangkan Allah menjadikan perkara sedemikian untuk menyesatkannya lagi.

Apakah cara untuk kita mengetahui samada setiap perkara ini adalah azab atau ujian? Bermuhasabahlah selalu, moga-moga kita diberikan hidayah yang tulus murni.

Firman Allah:

فَأَمَّا الإنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ

"Oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: 'Tuhanku telah memuliakanku!" (Al-Fajr: 15)


وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ

"Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku," (Al-Fajr: 16)

Apabila kita diberikan kesenangan, kita bersyukur dan apabila ditimpa kesusahan, kita bersabar dan redha.

Ramai orang menyangka apabila dia ditimpa kesusahan yang bertimpa-timpa dan kelihatan seakan-akan tiada jalan penyelesaian, Tuhan telah menyisihnya dan tidak menolongnya. Padahal, apakah nilai kehidupan di dunia ini jika dibandingkan dengan dunia akhirat yang kekal abadi? Setiap ujian adalah untuk membersihkan iman kita dari sikap munafik dan kadangkala kita tewas dan kadangkala kita berjaya. Itulah hakikat kehidupan sebagai seorang insan.

Firman Allah lagi:


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji?"(Al-Ankabut:2)


وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta" (Al-Ankabut: 3)

bersambung...

No comments: