Pages

Wednesday, January 12, 2005

Cobram IV

Khemah II


Kami membina 3 khemah di tengah-tengah ladang dan dalam tempoh perkhemahan ini, aku dapat merasai pelbagai perkara.

Pertamanya, cuaca ketika kami bekerja memetik ceri ketika itu amatlah luar biasa. Ribut taufan diselangi guruh halilintar seringkali mengisi halwa telingaku. Kujangka musim panas sinar mentari yang terik, namun aku silap. Musim panas ketika itu seakan-akan musim bunga. Suhunya cukup sejuk dan dingin. Hujan yang turun hampir setiap hari jelas menambahkan 'kesusahan' kami bekerja.

Kami hanya membawa 3 khemah namun kami langsung tidak membawa walau satu pun pancang. Pancang ni ialah besi panjang yang digunakan untuk memastikan agar khemah tidak terbang ditiup angin. Pancang ni dipakukan ke dalam tanah namun kami tidak mempunyai walau pun satu.

Ada suatu ketika itu, hujan lebat waktu tengah hari setelah kami habis bekerja. Nasib baiklah kami telah solat zuhur berjemaah sebelum itu. Waktu ketika itu 3 petang. Kulihat awan gelap menghiasi ufuk langit. Angin sejuk nan kencang mula menyapaku.

Tidak lama selepas itu, setitis demi setitis air hujan mula turun. Kami segera berlindung di dalam khemah. Hujan makin lebat. Angin makin laju dan bunyi angin mula menggerunkan. Khemah yang kududuki di dalamnya mula bergoncang. Kami terpaksa berbaring di penjuru khemah lantaran pancang tidak dipacakkan di sekeliling khemah. Dari satu detik ke detik yang lain, khemahku hampir terangkat ditiup angin. Kami sudah hampir berputus asa. Angin yang deras nan beku mula memasuki khemah. Ikatan tali pada tiang khemah hampir mula longgar. Air hujan yang basah mula memasuki ke dalam khemahku. Nasib baiklah bahagian bawah khemah kalis air.

Selama beberapa jam kami terperuk di dalam khemah menunggu hujan kembali reda. Cahaya halilintar dan guruh dapat kulihat. Hujan nan sejuk menyebabkan aku berselimut di dalam 'sleeping bag'. Suhu yang sejuk dan angin yang memasuki khemah menyebabkan aku mula mengantuk.

Letih memetik ceri mula merasuki minda kami. Tanpa kami sedar, mata kami mula terkatup dan minda kami dengan perlahan-lahan melayari alam mimpi. Kami kesemuanya tertidur berlatarbelakangkan bunyi hujan dan halilintar.

Beberapa jam kemudian, aku terjaga. Kawanku yang lain juga terjaga. Kakiku berasa basah. Aku bangun dan aku memeriksa 'sleeping bag' ku. Ah! Tidak! Khemah yang kusangka kalis air dimasuki air. Habis kami kesemuanya dibasahi air hujan. Kuangkatkan sleeping bag dan kulihat air mula memasuki dengan perlahan-lahan ke dalam khemah.

Hujan sudah mula berhenti. Hanya hujan renyai-renyai sahaja ketika itu. Aku pergi ke luar untuk melihat keadaan sekeliling.

Alangkah terkejutnya aku. Kawasan yang dahulunya tanah sudah tiada lagi. Hanya lopak air bergenang di sekeliling khemah kami. Kulihat khemah orang lain. Khemah mereka hanya dibasahi air hujan namun khemah kami dikelilingi lopak air dan air itu mula membasahi segala apa yang ada di dalam khemah. Walaupun bahagian bawah khemah kalis air, namun air yang banyak bertakung di bawah khemah telah berjaya menembusinya.

Kami terpaku buat seketika. Apa yang harus kami lakukan? Apa yang harus kami buat untuk menyelesaikan masalah ini? Patutkah kami alihkan khemah dalam suasana hujan renyai-renyai ini...Awan masih lagi gelap dan bunyi angin masih lagi berdesir...

Bersambung...

No comments: