Pages

Thursday, January 13, 2005

Cobram V

Khemah III

Awan masih lagi gelap dan bunyi angin masih lagi berdesir...
Dedaunan yang kering mula menyelimuti tanah yang lecak...
Kami sudah mula buntu fikiran...

Kalau hendak dialihkan khemah, masa tidak menyebelahi kami. Hujan makin lama makin lebat. Angin makin lama makin kuat bertiup.

Akhirnya, kami memutuskan untuk membuat suatu perkara yang langsung tidak pernah terlintas di dalam fikiranku. Keputusan kami ialah untuk membina suatu terusan kecil yang akan membawa air yang bertakung ke tempat yang lebih rendah.

Time is running out and we need to act fast...

Kesemua daripada kami mencari apa sahaja yang boleh digunakan untuk mengorek tanah yang lecak. Batu, tukul, kayu mahu pun ranting dahan...kesemuanya kami gunakan untuk mengorek tanah.

Ada yang membina lakaran ringkas di atas tanah bagi memastikan kami membina dengan tepat dan cepat. Ada yang mengorek di bahagian hujung terusan, ada yang di tengah dan ada yang di permulaan terusan. Pendek kata, setiap bahagian terusan itu ada orang yang tengah membinanya.

Pada mulanya, aku mengorek tanah dengan kayu. Kemudian, apabila terlalu banyak tanah melekat pada kayu, aku campakkan kayu tu jauh-jauh. Seterusnya, tanganku yang mulanya bersih aku kotorkan dengan tanah yang lecak. Sedikit demi sedikit, tanganku mengorek tanah dan terusan itu makin lama makin siap. Bahagian demi bahagian terusan itu mula bersambung.

Air yang bertakung di khemah kami mula mengalir ke dalam terusan. Pada mulanya, air mengalir dengan deras namun kemudiannya ia berhenti di tengah-tengah terusan. Oh! Rupanya terusan kami masih belum sempurna lagi. Kami harus mendalamkan terusan ini lagi. Bahagian tengah terusan lebih dalam daripada bahagian hujung terusan.

Kami bersegera membetulkan kedalaman terusan kami. Akhirnya, air berjaya mengalir hingga ke hujung terusan. Lopak-lopak air di sekeliling khemah kami mula surut.

Aku berpaling melihat 'pakcik tayar'. Oh! Kasihan dia! Habis basah kuyup dia dilimpahi air hujan yang beku. Terkial-kial dia membetulkan kanvasnya untuk memastikan tempat tidurnya tidak lagi disirami hujan yang makin lama makin lebat. Setelah bertungkus-lumus membetul di sana-sini, akhirnya kanvas dia dapat menutupi hampir kesemua tempat tidur dia. Cuma, kakinya yang tidak berstokin sahaja terdedah kepada angin dingin yang lalu. Tidak dapat kugambarkan kesejukan dan kesunyian yang dia alami.

Alhamdulillah, akhirnya khemah kami tidak lagi dibanjiri air. Syukur kepada hadrat Illahi, kami semua bolehlah tidur nyenyak pada malam itu.

Muslim I

Ada suatu ketika, hari itu hari Jumaat. Kami berhajat ingin mencari komuniti Muslim agar kami dapat mengerjakan solat Jumaat berjemaah. Maka, kami pergilah ke Cobram dengan matlamat mencari komuniti Muslim di sana.

Setelah puas bertanya dan mencari, akhirnya kami berjumpa juga dengan sebuah masjid kecil di ceruk bandar Cobram. Kami dijemput masuk oleh imam di situ yang namanya Syeikh Yasin. Sementelah kami masuk, ramai orang Muslim tempatan mula kelihatan di masjid itu. Rupanya, waktu Zuhur sudah masuk dan dalam beberapa ketika lagi, solat Jumaat akan dilangsungkan.

Maka, kami pun berwudhu' lalu duduk di saf hadapan. Azan pun dilaungkan.

Pada mulanya, bilal melaungkan Allahu Akbar, kemudian selawat, kemudian....selawat kepada saidina Ali...terkejut daku mendengarnya...dalam hati, sudah timbul was-was

selepas Haiya solah dan haiya falah, bilal melaungkan kalimat yang kurang kufahami...bertambah-tambah lagi aku rasa syak, betul ker orang ni Muslim? hmm...

yang seterusnya, adalah kalimah yang biasa.

Kemudian, selepas sahaja azan dilaungkan, imam terus mengangkat takbir. Eh! takder khutbah ker? Kami berpaling sesama sendiri...lantas, seorang kawan kami kata ikut dahulu kemudian tanya.

Maka, kami pun mengangkat takbir dengan niat solat Jumaat makmum dua rakaat. Imam pun membaca al-fatihah dan kemudiannya beberapa ayat dari al-Quran. Kemudian imam ruku', maka kami pun ruku'.

Tetiba sahaja, imam membaca selawat dengan kuat di mana sepatutnya dibaca tasbih dengan senyap. Sebaik sahaja imam membaca selawat dengan kuat dalam keadaan ruku', makmum yang lain pun membaca selawat dengan kuat juga. "Eh! Betul ker apa yang aku dengar nih?"

kemudian, imam iktidal. Imam sekali lagi membaca selawat dengan kuat sambil diikuti oleh makmum.

Kemudian, imam pun sujud dan sekali lagi membaca selawat dengan kuat. Duduk di antara dua sujud dan kemudiannya sujud semula.

Untuk rakaat kedua, perkara sama berulang. Hatiku sudah mula syak. Aku bersangka baik, mungkin ini salah satu golongan daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang aku belum jumpai lagi kot.

Setelah sujud kedua, imam terus bangun dan mengerjakan rakaat yang ketiga. "Eh! Bukan dua rakaat ker solat Jumaat?"

Kemudian, imam terus buat sampai rakaat keempat. Terpaksalah tukar niat kepada solat zohor empat rakaat.

Kemudian selesai sahaja menunaikan empat rakaat, imam terus bangun dan mengangkat takbir. Bila nak khutbah ni yer?

Kami pun mengikuti imam. Kami ikut imam sampai rakaat keempat. Sebaik sahaja imam selesai menunaikannya, imam pun berdoa dengan kuat dalam bahasa Arab yang sebutir pun aku tak faham. Ni lah padahnya tak belajar bahasa Arab...aku mengutuk diriku sendiri..

Kami saling berpandangan di antara satu sama lain. Betul kah apa yang telah berlaku ini? Betulkah kami telah mengerjakan dua solat empat rakaat yang sepatutnya hanya solat dua rakaat sahaja? Bila pula imam ini akan melangsungkan khutbah Jumaat?

Persoalan terbesar yang membelenggu hati kami ialah, ni mazhab mana? Ker ni ajaran sesat di bumi OZ? Sah ker solat kami tadi?

bersambung...

No comments: