Setelah beberapa hari bekerja di ladang ceri ini, kami memutuskan untuk berhenti kerja di atas beberapa alasan. Pertama, gaji yang kami dapat dari memetik strawberi dan ceri amatlah tidak berbaloi dengan kesusahan yang kami alami. Kedua, kami hanya bekerja separuh hari sahaja di mana kami mengharapkan agar dapat bekerja sehingga pukul 5-6 petang. Biar letih, asalkan dapat mengisi masa dengan bekerja. Itulah matlamatku yang utama.
Ketiga, seorang rakan kami akan pulang ke Malaysia 'for good' dan kami perlu balik semula ke Melbourne untuk dia menyelesaikan beberapa perkara sebelum dia pulang. Di sini, aku ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah terhadap rakanku yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi. Beliau banyak membantu dalam mencarikan kerja buat kami dan beliau telah banyak memberikan aku contoh yang terbaik dalam melaksanakan setiap perkara. Beliau juga telah banyak berusaha untuk menggerakkan suatu pergerakan memperjuangkan islam yang kini ditindas dan diperlekehkan.
Maka, dengan itu, kami pun pulang semua ke Melbourne. Dalam perjalanan pulang, aku sempat melayangkan pandangan terakhir ke bandar Cobram yang kecil yang bakal kutinggalkan ini. Aku dapat melihat awan mendung yang berarak dan kelihatan sinar mentari memancar menembusi awan nan tebal. Ah! Begitu indah pemandangan yang kulihat ini! Subhanallah! Hanya Allah sahajalah yang berhak ke atas segala-galanya. Aku dapat melihat hingga ke hujung ufuk langit. Aku dapat melihat biasan pelangi besar yang membumbungi perjalanan kami. Dari warna ungu hingga ke merah pekat, pelangi itu seakan-akan bercantum dari satu hujung dunia ke satu hujung dunia yang lain.
Titisan-titisan hujan lembut membasahi kereta kami bagaikan meratapi perpisahan kami dengan Cobram. Air hujan kecil mengalir membasahi tingkap di hadapanku. Dari atas, ia bercantum dengan titisan-titisan air yang lain lalu laju turun ke bahagian bawah tingkap. Merenung jauh menembusi tingkap, aku melihat bukit-bukau nan biru gelap membatasi ufuk langit. Bukit-bukau itu hampir-hampir tidak kelihatan kerna mereka diselaputi kabus kelabu yang tipis. Hujan gerimis membasahi bukit-bukau yang kering itu.
Kulayangkan pandangan ke arah lain. Awan gelap mula bertukar warna. Dari hitam gelap, perlahan-lahan ia bertukar menjadi kelabu berselimutkan putih salju. Kelabu putih itu kemudiannya bertukar kepada kuning mentari yang cerah lantaran disirami oleh biasan cahaya mentari terang. Di hujung segerombolan awan yang besar itu, sinar suria kekuningan bersalutkan merah cerah berupakan bilah pedang yang tajam lagi halus merobek awan selapis demi selapis lalu menapakkan diri ke atas tanah lapang yang terbentang luas di hadapanku.
Tanah yang maha luas ini ada yang ditanami dengan buah-buahan seperti 'peach', ceri, epal dan anggur dan ada tanah yang hanya terbentang kosong. Kekosongan yang menutupi tanah-tanah itu mengingatkan aku kembali akan suatu analogi kehidupan seorang insan di alam buana ini. Dunia yang fana ini seumpama sebuah ladang yang luas untuk kita bercucuk tanam di mana kita akan mengutip hasilnya di alam akhirat nanti. Jika kita menanam pokok-pokok yang tidak elok, maka buruklah hasil yang bakal kita pungut nanti dan andainya kita menanam pokok-pokok yang baik, maka insya-Allah baiklah hasil yang dapat kita pungut nanti.
Teringat aku lagi akan hadis Nabi....
Daripada Abu Musa, Rasulullah SAW telah berkata: "Perumpamaan hidayah dan ilmu yang telah Allah utuskan aku bersamanya adalah umpama air hujan yang melimpah-limpah membasahi bumi, di mana sebahagiannya menyimbah tanah subur yang menyerap air lalu ia menumbuhkan rumput-rumput serta tanam-tanaman yang banyak, dan sebahagiannya menimpa tanah keras yang dapat menakung air, maka Allah memanfaatkannya kepada manusia, maka mereka dapat meminum airnya dan memanfaatkannya untuk bercucuk tanam, dan sebahagiannya menimpa tanah lain yang licin serta tidak subur yang tidak dapat menahan dan menakung air serta tidak dapat menumbuhkan rumput serta tanam-tanaman, itu adalah perumpamaan mereka yang mempelajari ilmu agama dan memanfaatkan ilmu serta hidayah yang telah diutuskan aku bersamanya maka ia mempelajarinya dan mengajarkannya dan perumpamaan mereka yang langsung tidak mahu mengangkat kepala mereka untuknya dan tidak mahu menerima hidayah yang telah Allah utuskan aku bersamanya."
Riwayat Bukhari, Hadis no 79
Ilmu itu diibaratkan air. Andainya air diisi ke dalam sebuah bekas, air itu akan mengikuti bentuk bekas tersebut. Ilmu yang bersifatkan air ini menjelaskan bahawa ilmu itu sendiri bersifat fleksibel dan boleh berubah mengikut persekitaran namun masih boleh mengekalkan kemandiriannya. Orang yang berilmu mampu menyesuaikan ilmu yang dimilikinya mengikut keadaan dan tidak akan jumud dengan apa yang ada padanya.
Jika seseorang itu berilmu namun tidak fleksibel, ilmu yang dimilikinya seumpama ais pejal yang ketumpatannya lebih rendah dari air biasa. Orang berilmu yang tidak fleksibel (kebiasaannya kerana ilmunya belum sempurna) akan mempunyai 'ketumpatan' atau kematangan yang rendah dan akan terapung-apung dalam sistemnya yang tersendiri. Jika air itu disertakan dengan tenaga berlebihan, air itu akan berubah sifat menjadi wap air. Wap air juga tidak stabil dan tidak akan mampu membina arus yang kuat seperti yang dimiliki oleh cecair mahu pun pepejal. Itu merupakan analogi untuk orang berilmu yang terlampau bersemangat dalam melakukan sesuatu.
Sifat air dalam bentuk cecair ini sebenarnya menepati kehendak alam. Ilmu itu diibaratkan obor cahaya yang menerangi kegelapan kehidupan seseorang. Tanpa ilmu, atau dengan ilmu yang 'keras' - sekadar akademik semata-mata atau tidak membawa kepada Allah, atau ilmu yang 'diserta semangat dan tenaga melampau' - seperti wap air - akan menyebabkan kegagalan seseorang untuk mampu hidup dengan baik dalam alam ini.
Sesungguhnya kita semua yang bergelar muslim ini telah lama mempelajari pelbagai ilmu berkenaan agama kita yang suci ini. Setiap muslim paling kurang pasti akan mempunyai serba sedikit ilmu pengetahuan mengenai islam. Persoalannya, bagaimana dan ke manakah kita memandu ilmu pengetahuan kita ini? Adakah ilmu itu bagaikan obor cahaya besar yang menerangi alam atau adakah ilmu kita ini sekarang bagaikan cahaya lilin yang makin malap menunggu sisa-sisanya yang terakhir?
Bersambung...
No comments:
Post a Comment