Usai solat, kami dijemput oleh bilal ke rumahnya untuk makan tengah hari. Maka, kami pun bergerak ke rumahnya yang agak jauh juga dari masjid tadi. Imam Syeikh Yasin menjadi jurupandu kami dalam menjejaki rumah bilal tersebut.
Tika ini, pelbagai soalan menyerbu kalbuku. Siapakah mereka ini? Yang bertambah peliknya, mereka ini fasih berbahasa Arab walaupun sepatah kata pun, aku tak memahaminya =(
Kami dijamu dengan pelbagai makanan yang tidak pernah kusantap sebelum ini. Ada roti yang seakan-akan lempeng namun rasanya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Terlalu sedap. Manisan juga kami dihidangkan. Tatkala sahaja lidahku menyentuh manisan itu, dengan segera kesemua deria rasaku diaktifkan. Manisan itu, subhanallah...terlalu sangat-sangat sedap (to the power of infinity). Rasanya, my blood glucose is directly increased to the max and beyonds and lots of insulin is being released immediately. Walaupun aku hanya memakan sedikit manisan itu, namun aku memerlukan masa yang lama untuk menghabiskannya. Bukan apa, aku memerlukan masa supaya jumlah insulin cukup dibebaskan dari B-cell untuk mencernakan kuantiti glukosa yang terlalu banyak ini. Kalau aku makan lebih banyak lagi, my blood glucose will exceed the renal threshold and my chance of getting diabetes will be increased :(
Manisan itu aku hanya santap sedikit sahaja. Kemudian, aku mencuba sejenis kuih yang pernah kulihat di Melbourne. Rasanya ia dipanggil 'baclava'. Ia adalah makanan orang Somalia, kalau ingatanku masih utuh lagi. 'Baclava'...hanya budak Melbourne sahaja tahu akan tahap gulanya. Kalau manisan tadi sedap to the power of infinity....baclacva ini lebih dari itu...
Hampir sahaja aku hendak termuntah memakannya. Not that I don't like it but too much glucose I ate already. My body can't cope with further addition of sweet glucose. I think eating baclava is already exceed my max blood glucose level ;)
Memandangkan aku baru sahaja makan sedikit daripada juadah mereka, aku perlu makan lagi..nanti dia ingat kami bersangka buruk kepada mereka...lalu, aku pun meminta air kordial. Nasib baik air ini tidak semanis seperti manisan dan baclava tadi.
Sambil makan dan minum, Syeikh Yasin pun bertanya kepada kami mengenai latar belakang kami dan apa yang menyebabkan kami sampai ke Cobram. Setelah menjelaskan beberapa perkara mengenai latar belakang kami, kami pun bertanya kepada mereka.
Syeikh Yasin menjelaskan kepada kami bahawa mereka ialah sebuah komuniti penduduk Iraq yang kecil di Cobram. Ada lebih kurang 70 buah keluarga Muslim kesemuanya di situ. Mereka adalah penganut Syiah al-Jaafari. Terkejut daku mendengarnya! Lantas, kami pun menyelidiki dengan lebih terperinci akan mazhab mereka.
Syeikh Yasin menjelaskan bahawa berdasarkan pengetahuan dia, ada lima ajaran yakni mazhab yang dikira mengikut ajaran Islam yang sebenar. Syafie, Hanbali, Maliki, Hanafi dan mazhabnya, Al-Jaafari. Islam itu ada tiga, pertama ialah akidah, kedua syariah dan ketiga ialah tasawwur. Akidah ialah berkaitan kepercayaan kita terhadap Allah Subhanahuwa Taala dan syariah ialah berkenaan dengan undang-undang dan peraturan hidup. Termasuk dalam syariah ialah hudud, qisas, jinayat, muamalat dan munakahat. Tasawwur ialah berkaitan perkara yang mencantikkan agama Islam itu sendiri seperti akhlak.
Kita boleh berbeza dalam dua perkara yakni syariah dan tasawwur namun kita tidak boleh berbeza dalam perihal akidah. Barangsiapa yang berbeza dalam perihal akidah, maka dia akan sesat dan menjadi golongan kufar.
Syeikh Yasin menjelaskan mereka masih percaya kepada Allah yang Esa, dan masih mengikuti Al-Quran nan satu dan masih beriman dengan Nabi Muhammad. Mereka hanya berselawat kepada Saidina Ali dan keluarganya dalam doa dan selawat yang akan disertakan dengan selawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasalam. Syeikh Yasin juga berhujah dengan hadis yang sahih akan keberkatan berselawat kepada Rasulullah dan kaum keluarganya. Mereka tidak berselawat kepada Saidina Ali dalam solat dan hanya berselawat kepada Rasulullah dalam solat.
Sesungguhnya kita umat Islam sangat-sangat dituntuti berselawat kepada Rasullullah dalam setiap ketika dan keadaan. Maka, kami pun bersetuju dengan hujah Syeikh Yasin.
Syeikh Yasin juga menjelaskan perihal ibadat khusus yakni solat. Beliau menjelaskan dalam solat, terdapat pelbagai khilaf dalam cara menunaikan solat. Umpamanya ada imam mazhab menyatakan perlu menyapu air ke seluruh kepala tika berwudhu dan ada juga imam mazhab yang menyatakan hanya sebahagian kepala sahaja. Ada imam mazhab menyatakan perlu membaca Bismillah dengan kuat ketika solat dan ada yang menyatakan perlu senyap. Ada imam mazhab yang menyatakan makmum perlu meng-Amin-kan Fatihah dan ada imam mazhab yang berpendapat ia tidak perlu. Pelbagai contoh Syeikh Yasin ketampilkan kepada kami beserta dengan hadis sahih. Kami pun bersetuju dengan pendapatnya.
Cara mereka menunaikan solat cukup berlainan dengan mazhab syafie. Pertama, mereka tidak meletakkan tangan di atas pusat tatkala membaca al-Fatihah. Itu pun sebenarnya hanyalah perkara sunat dalam solat. Tidak berbuat sedemikian pun solat masih sah. Kedua mereka meletakkan seberkas tanah yang dikeraskan menyerupai arca bulat yang leper. Ia menyerupai silinder yang mengandungi tanah semata-mata. Tanah itu diambil daripada Karbala di Iraq sempena mengambil berkat daripada tempat Saidina Hussin, cucu Nabi yang dibunuh pada zaman dahulu. Mereka berpendapat solat tidak akan sah jika ada benda-benda sintetik yang menutupi dahi tatkala sujud. Untuk itu, mereka perlu membawa tanah ke mana-mana sahaja ketika mereka bersolat. Contoh benda-benda sintetik ialah permaidani, simen dan kayu. Untuk itu, mereka meletakkan bekas berisikan tanah itu di tempat sujud. Sesungguhnya dalam hal ini, ada khilaf di kalangan imam mazhab. Kami kekurangan ilmu dalam memahami akan perkara ini.
Berkenaan dengan solat Jumaat, Syeikh Yasin menjelaskan bahawa dia tidak membuat sebarang khutbah kerana takut jumlah makmum akan berkurangan kerna kebanyakan makmum bekerja. Dia juga menyatakan bahawa mereka menjamakkan solat zuhur dengan asar dan maghrib dan isyak berdasarkan beberapa hadis yang beliau sendiri kemukakan. Walaupun demikian, mereka hanya solat berjemaah pada waktu maghrib dan isyak dan bersolat bersendirian pada waktu yang lain. Satu-satunya waktu zuhur mahu pun asar yang mereka berjemaah ialah pada hari Jumaat. Sungguh berbeza sekali dengan apa yang kami fahami sebelum ini.
Aku merenung kembali rukun-rukun solat yang kupelajari sebelum ini. Berdasarkan apa yang mereka buat, solat mereka masih sah kerana kesemua 13 rukun solat telah mereka lakukan. Teringat aku akan usul 20 karya As-syahid Imam Hassan al-Banna, "Perselisihan pendapat dalam masalah cabang hukum fikah tidaklah menjadi sebab perpecahan dalam agama. Ia sepatutnya tidak menjadi sebab perbalahan dan permusuhan, kerana setiap orang yang berijtihad diganjari pahaia. Tidaklah dilarang melakukan penyelidikan (melalui perbincangan) dalam masalah khilafiah jika bertujuan mencapai hakikat, dengan syarat perbincangan itu hendaklah di atas dasar mahabbah dan kasih sayang kerana Allah, serta bekerjasama untuk mencari kebenaran dan hakikat dengan tidak membawa kepada pertengkaran yang tercela dan taasub."
Kata Hassan al-Banna lagi, "Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim berdasarkan pendapat atau maksiat yang dilakukannya sedangkan beliau telah mengucap dua kalimah syahadah dan melakukan tuntutan syahadahnya iaitu dengan melakukan sesuatu yang telah difardukan kepadanya, kecualilah beliau berikrar dan mengakui kekufurannya, atau beliau mengingkari perkara yang diketahui secara pasti dalam agama, atau beliau mendustakan lafaz dan pengertian Al-Quran yang terang dan jelas, atau beliau menafsirkan Al-Quran dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran bahasa Arab atau beliau melakukan perbuatan yang tidak dapat ditafsirkan dengan tafsiran selain dari kekufuran."
Berdasarkan apa yang dikemukakan oleh Hassan al-Banna, kami tidak menyatakan bahawa apa yang mereka lakukan itu salah dan kafir mahu pun sesat. Teringat aku akan satu lagi usul, "Seorang Islam yang ilmunya belum mencapai darjat nazar (boleh mengeluarkan hukum dan dalil) dalam hukum-hukum furuk (cabang), sayugialah beliau mengikut mana-mana imam. Di samping ikutannya itu adalah lebih baik jika beliau berusaha mencari dan mengetahui dalil-dalil imamnya. Ia hendaklah menerima tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil sekiranya beliau yakin orang yang memberikan petunjuk itu benar dan mempunyai keahlian. Sekiranya beliau tergolong dalam golongan ahli ilmu sayugialah beliau meyempurnakan ilmunya hingga mencapai peringkat nazar." Sesungguhnya ilmu kami hanyalah sedikit, maka kami harus berpegang kepada mazhab Syafie sehinggalah kami tahu akan hujah Imam Syafie dalam setiap perkara.
Berguna betul apa yang aku pelajari selama ini daripada Usul 20 karya Imam Hassan al-Banna. Sesungguhnya Islam itu mudah namun kita sendiri tidak boleh menyesuaikan Islam dengan kehendak nafsu kita. Kita harus menyesuaikan diri kita dengan setiap ajaran Islam itu sendiri.
bersambung...
No comments:
Post a Comment