Pages

Sunday, January 09, 2005

Cobram I

Akhirnya setelah lebih sebulan bekerja, aku pulang semula ke rumah. Pengalaman yang kutimba cukup banyak untuk kujadikan bekalan buat masa depan.

Pada mulanya kami (kesemuanya ada 5 orang) pergi mencari kerja di suatu bandar kecil yang dinamakan Cobram. Ia terletak 250 km dari Melbourne. Jauh jaraknya sehinggakan bandar itu sendiri terletak di sempadan Victoria dan New South Wales. Aku kira jika kami pergi 200 km lagi, kami akan sampai ke Canberra atau Sydney.

STRAWBERI

Pada mulanya, kami bekerja sebagai pengutip buah strawberi (strawberry picker) di sebuah ladang yang agak kecil juga. Mengutip strawberi ini merupakan suatu pekerjaan yang agak mencabar. Pokoknya ditanam di atas batas yang tingginya setakat paras betis.

Untuk mengutip strawberi, kami diarahkan untuk mengutip buah strawberi yang berwarna merah dan buah harus dikutip tanpa tangkainya. Nak dijadikan cerita, tuan ladang suruh kami petik strawberi tanpa ada sedikit lebam. Kalau ada lebam, buah akan dibuang dan gaji dipotong. Kami bekerja menggunakan piece-rate, yang mana lebih banyak 'tray' kami kutip, lebih banyak gaji kami dapat.

Satu 'tray' beratnya lebih kurang 5-6 kg dan kami hanya dibayar $ 3.80 untuk setiap satu. Kami bermula kerja dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari. Pada mulanya, kami hanya mampu mengutip 2-3 tray setiap jam namun menjelang tengah hari, prestasi semakin merosot.

Ada beberapa perkara yang menyebabkan prestasi kami jatuh menjelang tengah hari. Untuk mengutip strawberi, pertama kami harus memilih yang telah matang dan untuk mengutipnya tanpa ada lebam, kami harus mengutipnya dengan berhati-hati. Mengutip strawberi tanpa tangkainya sebenarnya adalah cukup payah untuk dilaksanakan. Seringkali aku memetik strawberi tanpa tangkai namun kesannya, buah strawberi menjadi lebam kesan daripada petikanku. Memetik strawberi tanpa tangkai itu mudah namun tanpa ada lebam, itu memerlukan teknik-teknik tertentu. Aku hanya dapat mempelajari teknik terbaik memetik strawberi pada hari ketiga. Itu pun aku pelajari dari seorang pemetik strawberi yang cukup berpengalaman. Dia telah mengutip strawberi lebih daripada 5 tahun. Cubalah bayangkan, aku hanya mampu mengutip 2-3 tray per jam namun dia mampu mengutip 5-6 tray per jam. Jauh sekali untuk aku mengatasi pencapaiannya.

Faktor kedua ialah buah strawberi mudah lembut apabila cuaca panas. Pada awal pagi, aku dengan mudah mampu mengutip dengan laju namun bila sang mentari mula tegak di atas kepala, aku mula perlahan. Aku harus lebih berhati-hati dalam memetik strawberi untuk mengelakkan kesan lebam.

Ketiga...untuk memetik strawberi yang pokoknya rendah dengan laju, ada beberapa teknik yang boleh digunakan. Paling laju ialah dengan membongkokkan badan. Pada mulanya kami membongkokkan badan untuk memetik strawberi dengan laju. Namun kudrat kami tidaklah seberapa...Bukan apa, cubalah bayangkan membongkok memetik strawberi selama beberapa jam...dalam masa 2 jam sahaja aku membongkokkan badan, tulang belakangku pasti sakit dan lenguh.

Kesakitan tulang belakang menyebabkan kami menggunakan teknik yang lebih perlahan. Ada di antara kami berdiri di atas lutut, ada yang duduk bersila dan ada yang duduk di atas batas. Pendek kata, pelbagai ragam kami dapat lihat dalam memetik strawberi ini. Yang berdiri di atas lutut akan dapat merasai sakit lutut yang pedih selama beberapa hari kemudiannya. Yang duduk bersila akan cepat merasa letih dan akan mengutip dengan cukup perlahan. Yang duduk di atas batas akan diserangi kulit yang gatal gara-gara bergesel dengan dedaunan pokok strawberi. Gabungan kesemua teknik pula akan menyebabkan kami ditimpa sakit tulang belakang, lutut, keletihan yang amat sangat dan tangan yang gatal untuk 3-4 hari kemudiannya. Keletihan yang kami alami dalam memetik strawberi ini jelas terpancar apabila kami semua dengan mudah tertidur tatkala kepala berjumpa dengan tempat tidur walhal kami hanyalah bekerja separuh hari! Tidak dapat kubayangkan andainya kami bekerja sampai pukul 5 petang...

Keempat, bukan sahaja keletihan yang menyerangi diri dan melumpuhkan semangat juang kami, kami juga diancam oleh serangga kecil yang cukup merimaskan.

Yang aku maksudkan ini ialah makhluk yang bernama Lalat! Sampai sekarang aku masih tidak dapat mengetahui sebab yang pasti kerana di Cobram, penuh dengan lalat. Kalau nak dibandingkan dengan zaman di Banting, lalat Cobram lagi ganas dan aktif. Tanpa mengira hujan mahu pun panas, lalat akan sentiasa mengekori kami dari ladang hingga ke khemah tempat kami menginap. Jika lalat itu menghurungi seperti nyamuk, aku masih boleh tahan lagi...namun keganasan lalat Cobram cukup terserlah apabila lalat ini seringkali menyerang tempat yang lembap di badan. Lalat Cobram cukup suka mencucuk-cucuk kakinya ke dalam mata kami, lalat itu juga suka hinggap di bibir dan suka juga memasuki hidung kami. Andai kata aku membuka mulut, pasti berpuluh-puluh lalat akan memasuki mulutku ini.

Memetik strawberi dengan dibayangi oleh serangan lalat yang bertubi-tubi sambil dihantui dengan kesakitan dan keletihan yang tidak terhingga, itulah pengalaman yang tidak dapat kulupakan sampai saat ini.

Setelah tiga hari, kami berputus asa untuk meneruskan usaha memetik strawberi. Keletihan, kesakitan dan perasaan rimas diserang oleh lalat merupakan sebab utama kami berhenti. Biar pun kami hanya memetik strawberi selama tiga hari dari 6 pagi hingga 12 tengah hari, namun kesakitan tulang belakang dan lutut menghantui kami untuk 3-4 hari selepas kami berhenti kerja dari memetik strawberi.

Bersambung...

No comments: