Pages

Tuesday, February 01, 2005

Final note for Wandin & Cobram...

Setelah beberapa minggu bekerja di ladang ceri ini, pertama sebagai pemetik ceri dan keduanya sebagai 'cherry sorter'....akhirnya kesemua ceri di ladang itu habis. Tiada lagi ceri untuk dimakan ;) tiada lagi ceri untuk dipetik dan tiada lagi ceri untuk dibuang. Maka, berakhirlah kerja kami ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya....apakah yang aku dapat dari pekerjaan ini?

Sebenarnya....agak banyak juga aku telah pelajari dan fikirkan sepanjang perjalananku yang bermula di Cobram dan berakhir di Wandin East. Duit...Alhamdulillah, rasanya lebih dari cukup. Namun, sebenarnya duit bukanlah matlamatku bekerja selama ini. Ada matlamatlain yang ingin kucapai dan aku rasa matlamat itu telah pun tercapai.

Tafsiran kita terhadap sesuatu peristiwa, sejarah mahu pun penjelasan maksud tersirat terhadap natijah yang nampak kesemuanya bergantung kepada pegangan individu yang melakukan penafsiran itu dan menurut neraca yang digunakannya untuk mengukur (Human perception).

Jika aku melihat matlamat hidup ini adalah untuk mencari kekayaan dalam bentuk wang, maka aku akan mengatakan gaji yang aku perolehi ini masih lagi tidak mencukupi. Jika aku melihat matlamat hidup ini adalah untuk mengisi masa lapang, maka aku akan mengatakan bahawa masih banyak lagi masa lapangku yang tidak terisi. Jika matlamatku adalah untuk mencari ketenangan jiwa dan kedamaian hati, mungkin aku akan bermuhasabah kembali. Jika matlamatku adalah untuk mencari keredhaan Illahi, mungkin aku akan merenung kembali apa yang telah kulakukan selama ini.

Ada orang menganggap bahawa dengan memiliki sejumlah wang yang banyak, dia telah mencapai kebahagiaan. Ada orang beranggapan dengan menguasai perniagaan bernilai berbilion ringgit, kebahagiaan telah dia ketemui. Ada orang beranggapan dengan gelaran seorang Dr, Ir mahu pun Datuk, dia telah berjaya dalam hidupnya ini.

Sebenarnya, itu semua bergantung kepada neraca yang kita gunakan selama ini. Jika kita melihat hanya kepada dunia sebagai sumber kehidupan kita, maka kita akan menyatakan kita telah pun mencapai kebahagiaan tatkala mencapai apa yang diimpikan oleh sebahagian umat manusia. Jika kita melihat menggunakan neraca dunia dan akhirat, kita akan mengatakan apa yang kita capai di dunia tatkala ini hanyalah seumpama debu-debu di padang pasir yang luas. Tidak bernilai sekali jika dibandingkan apa yang mampu kita perolehi di akhirat.

Jika kita melihat menggunakan ruang lingkup yang sempit, maka kita akan berfikiran sempit juga dan mungkin tidak akan dapat melihat apa yang ada di luar. Tika aku bekerja...aku menyedari bahawa manusia ini seringkali gundah-gelana tatkala ujian datang menimpa. Kadangkala kita diserang kesusahan, kita mula memaki-hamun. Tiba ujian kesenangan, kita alpa untuk bersyukur.

Kalaulah kita melihat dunia ini seumpama sebuah tempat persinggahan sementara untuk kita berehat, maka kita tidak akan menghiasi tempat permusafiran kita dengan begitu indah sekali.

Dari Ibn Umar r.a., katanya : " Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ' Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ' Maka Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati. " [Riwayat Bukhari]

Kembara aku di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Apabila kembaraku di dunia ini berakhir dan aku menuju ke tempat akhirat yang abadi, segala-galanya yang kucapai di dunia ini akan kutinggalkan.

Setiap apa yang kita cintai akan musnah. Ibu bapa akan meninggal dunia, pasangan hidup akan mati, adik-beradik akan meninggalkan kita bersendirian, harta akan hilang...pendek kata, segala perasaan cinta kita akan menjadi kecewa dan pasrah. Malah di tempat akhirat yang kita bakal tiba nanti pun, belum tentu kita akan bertemu semula ahli keluarga yang hilang. Kita belum mampu mengetahui samada kita akan bertemu semula ibu bapa kita, pasangan hidup atau pun adik-beradik yang tersayang. Tatkala memikirkan hakikat ini, aku sering memikirkan kembali akan matlamat hidupku ini....

Cinta kepada manusia hanya sementara, cinta kepada Illahi kekal abadi. Selaku pengembara, aku harus meneruskan kembaraku tanpa henti. Jikalau aku singgah di mana-mana tempat sekali pun, itu adalah untuk mencari bekalan sepanjang pengembaraanku ini. Aku tidak sepatutnya membawa barang muatan yang berlebihan. Aku hanya memerlukan hanya sedikit sahaja barang keperluan.

Selaku seorang pengembara juga, aku perlu berada di jalan yang betul. Kalau aku berada di jalan yang salah, aku akan tersesat dan aku tidak akan sampai di destinasi terakhir. Untuk itu, aku memerlukan ilmu pengetahuan yang benar. Jika aku tidak tahu menggunakan bintang dan matahari sebagai penunjuk jalan, kembaraku akan punah sama sekali. Untuk mencari ilmu yang benar itu, aku perlu mencari teman yang bakal menunjukkan aku jalan yang betul. Mampukah aku untuk bertemu teman seperti itu?

Namun, sifat manusia itu pelupa. Seringkali kita terlupa kehidupan ini adalah kembara kita ke akhirat. Kita mungkin mengetahui destinasi terakhir kita adalah akhirat namun apa yang kita lakukan selama ini mencerminkan bahawa kita ingin menginap selama-lamanya di tempat persinggahan ini. Kita seolah-olahnya tidak mahu menuju ke destinasi terakhir dan tidak mahu meninggalkan dunia yang fana.


وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ

Seharusnya cinta aku yang paling tertinggi ialah kepada Illahi. Aku sering mengharapkan petunjuk dari-Nya namun aku sering terpesong dari jalan yang nan satu. Aku mengharapkan untuk bertemu dengan-Nya namun keadaanku tika ini...sesungguhnya layakkah aku untuk bertemu dengan-Mu? Kealpaan, dosa, keangkuhan....sifat itu harus aku campakkan sejauh-jauhnya namun kadang-kala ia datang kembali.

Mampukah aku untuk meneruskan kembaraku ini? Mampukah aku untuk bertemu dengan Tuhan Penguasa sekelian alam nanti....

Kian lama terpenjara
Mencari makna cinta
Dalam ungkap kata bersulam dusta

Bila gerbang rahmat terbuka
Menjelma cinta suci
Sehalus dan selembut sutera kasih

Terbentanglah tersingkap kebenaran

Terlerailah terbenam kepalsuan
Tuhan pada-Mu ada kedamaian
Diribaan-Mu kebahagiaan

Tiada lagi rasa kesangsian di hati
Cinta Mu cinta tulus suci murni
Kasih-Mu nan abadi

Bertautlah bercambahlah cinta
Mengharum dalam jiwa
Menemukan kerinduan syahdu
Pada yang Maha Esa

Sutera kasih membelai
Membalut kelukaan itu
Sutera kasih melambai

Mengisi kekosongan pengharapan
Rela pasrahkan kehidupan
Mengharungi cabaran
Rintangan perjalanan di hadapan

Doa dan titis air mata
Mendamba sutera kasih
Agar terus bersemi selamanya

No comments: